Oleh: SERINA U.K
JIKA almarhum Tun Abdul Razak masih hidup di kala ini, beliau pasti kagum dengan kehebatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang hidup di era anaknya menjadi Perdana Menteri Malaysia; melakukan transformasi ekonomi Sabah tanpa meneruskan Legasinya, FELDA.
Belum ada Pakar Ekonomi Dunia dapat menandingi Musa dalam kegiatan ekonomi sehingga negeri yang dilabelkan sebagai mempunyai penduduk miskin paling ramai di Malaysia; sebenarnya adalah negeri yang paling kaya di Malaysia; malah mampu menandingi Rizab Negara.
Kerajaan Malaysia di era Bapa Transformasi, Najib Tun Razak sewajarnya bersyukur dan wajib belajar daripada Musa bagaimana melakukan Transformasi Ekonomi secara ‘Glokal’ melalui projek ‘Agropolitan’ bagi meningkatkan taraf hidup rakyat; 1,001 kali jauh berbeza dan lebih sistematik daripada Gagasan FELDA, FELCRA, RISDA dan pelbagai agensi transformasi ekonomi mikro dan makro.
Skim FELDA yang masih menggunapakai ‘Dasar Penjajah’ yang memecah dan memerintah, ternyata belum berjaya melakukan ‘Transformasi Ekonomi’ kerana sudah hampir tiga dekad FELDA di Sabah, para peneroka masih gagal memiliki hak milik tanah dan masih terpenjara di ‘Lingkaran Putaran Ganas Kemiskinan’ lebih sinonim dengan PPRT disebabkan ‘Dasar Memakmurkan FELDA’ sehingga membelakangkan rakyat atau para peneroka.
Majoriti peneroka FELDA kelihatan tidak ubah seperti di zaman ‘KUNTA-KINTE’ iaitu perhambaan sekalipun diskima dalam bentuk yang lebih berhemat; langsung tidak berhak memiliki tanah yang diusahakan; dibeban dengan hutang yang tidak mampu dijelaskan sehingga keturunan.
Anak Syarikat FELDA sinonim dengan kapitalis dan penjajah yang ditohmah sebagai ‘Along’ kerana bukan sahaja kejam terhadap nasib dan masa hadapan para peneroka dan merampas semua peluang pekerjaan membangunkan dan menyelenggara ladang FELDA; malah turut melupai jasa para kontraktor yang bertungkus lumus membangunkan ladang berkenaan, melalui pemberhentian secara besar-besaran kontrak kerja, terutama Persatuan Kontraktor Gugusan Sabahat (KOGUSA) sehingga mereka terpaksa melukut di tepi gantang dan menawarkan ‘rasuah’ untuk terus kekal di FELDA Gugusan Sahabat, Lahad Datu.
Penderhakaan ‘Anak’ terhadap ‘Bapak’ ternyata mengeruhkan pengurusan FELDA untuk menjadi agen pembasmi kemiskinan yang telah menelan semua peluang untuk generasi pertama, kedua, ketiga dan seterusnya sehingga mereka terpenjara di dalam ‘Gubuk Ekonomi’ kapitalis yang wujud daripada penubuhan anak syarikat FELDA.
Ramai peneroka FELDA seperti ‘ayam jantan yang kokok berderai-derai, tetapi bontot dipenuhi tahi’ hanya mampu membawa pulang RM50 sehingga RM300 sebulan akibat skima pemotongan hutang yang tidak berperi kemanusiaan; sekalipun harga kelapa sawit pada paras tertinggi dewasa ini.
Para Peneroka FELDA di Sabah bagaikan Pak Kadok yang menang sorak tetapi kampung tergadai, masih dilambung mimpi di siang hari untuk mendapatkan geran hak milik tapak rumah dan tanah di dalam ladang FELDA; terpaksa menyekang mata di malam hari memikirkan cara untuk menambahkan pendapatan untuk menampan kos hidup yang semakin tinggi.
Berbanding dengan para peneroka Agropolitan yang di Sabah, mereka telah diberi geran komunal dan terus menjadi kaya serta merta apabila Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS atau SLDB) membangunkan tanah mereka melalui perkongsian bestari.
Mereka terus menjadi tuan kerana mempunyai geran hak milik secara berkumpulan dan akan terus menerima dividen daripada tanah yang dimajukan setiap bulan, di samping gaji bulanan jika mereka turut bekerja memajukan tanah mereka.
Paling memberansangkan, Kerajaan Negeri Sabah menetapkan sebahagian besar daripada dividen dan keuntungan mereka disimpan dalam Tabung Pelajaran kerana menyedari hanya pendidikan ke peringkat Universiti sahaja yang mampu membasmi kemiskinan secara total; selain penyediaan prasarana asas.
Dengan pendapatan bulanan antara RM2,500 sehingga RM3,500, para peneroka Agripolitan menjadi antara golongan miskin di dunia yang menjadi kaya dalam sekelip mata melalui program transformasi ekonomi secara glokal.
Belum ada kerajaan di dunia yang mampu melakukan Transformasi Ekonomi sebegitu hebat sebagaimana kebijaksanaan Kerajaan Negeri Sabah melaksanakan pelan tindakan transformasi ekonomi mengikut acuan mereka sendiri, ‘Agropolitan’ tanpa melakukan penindasan atau mengguris perasaan rakyatnya.
Jika benar Kerajaan Sabah kaya, kenapa tidak gunakan wang Rizab untuk membangunkan prasarana yang semakin mundur di luar bandar dan membasmi kemiskinan? Bukankah itu tanggung jawab Kerajaan Persekutuan namun menteri yang dilantik Perdana Menteri gagal menjalankan tugas? Wang Kerajaan Negeri untuk rakyat Sabah menghadapi masa sukar, bukan untuk berbelanja secara suka-suka!
Dalam pada itu, tiga Geran Komunal Anak Negeri (NCR) dikeluarkan di Sabah melibatkan keluasan 7,258 hektar dan memberi manfaat kepada 1,702 penduduk di daerah Nabawan dan Tongod.
Melalui pengeluaran geran berkenaan, perjanjian usaha sama untuk membangunkan ladang sawit di kawasan Lalampas, Tongod, dimeterai dengan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) untuk tempoh 25 tahun.
Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah berkata rakyat akan mendapat manfaat segera dalam bentuk dividen, peluang pekerjaan dan peluang perniagaan sesuai dengan kemampuan dan kemahiran sedia ada.
Musa berkata mengikut syarat perjanjian, benefisiari atau anak negeri yang terlibat akan memiliki dividen 40 peratus dan LKTNS 60 peratus.
Katanya kawasan yang terlibat dengan usaha sama itu akan dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit di kawasan seluas 3,237 hektar dan tanaman kontan di kawasan seluas 404 hektar.
Beliau berkata penanaman kelapa sawit akan bermula Ogos ini dengan anggaran kos perbelanjaan RM74 juta.
Musa berkata kawasan tanah kerajaan seluas 15,780 hektar melibatkan 4,161 peserta sedang diproses oleh Jabatan Tanah dan Ukur untuk pengeluaran 43 Geran Komunal Anak Negeri.
Sebanyak 24,592 hektar tanah kerajaan sedang dirancang untuk pengeluaran Geran Komunal Anak Negeri.
Kata Musa, memberi milikan tanah melalui Geran Komunal Anak Negeri merupakan langkah positif kerajaan negeri untuk membangunkan tanah secara optimum dan mampan dengan harapan dapat membasmi kemiskinan dengan pemberian dividen dan peluang pekerjaan dan perniagaan.
Alangkah bertuahnya rakyat Sabah jika FELDA dan FELCRA menyerahkan kembali lebih 300,000 ekar tanah yang telah diberi secara PERCUMA oleh Kerajaan Negeri Sabah yang lalu untuk ditadbir urus melalui Skim Agropolitan; selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Anak Negeri Sabah mempunyai HAK MUTLAK ke atas ‘Tanah Adat’ yang telah diusahakan mereka sejak zaman berzaman oleh nenek moyang mereka, tetapi dirampas secara kejam dan diperdaya oleh FELDA dan FELCRA dengan sekelumit pampasan!(sabahkini)