Adu kepada Suhakam, akibat tidak tahan tanggung hutang
Memorandum aduan itu mendedahkan punca sebenar bebanan hutang yang mencecah ratusan ribu ringgit dihadapi peneroka akibat kegagalan anak syarikat Felda, Felda Technoplant.
Memorandum aduan itu mendedahkan punca sebenar bebanan hutang yang dihadapi mereka adalah daripada kegagalan anak syarikat Felda, Felda Technoplant yang lewat menguruskan proses tanam semula kelapa sawit dan getah sehingga bertahun lamanya.
Wakil kumpulan itu Mazlan Aliman berkata, kerja tanam semula yang sepatutnya diselenggara Felda Technoplant terhadap setiap 10 ekar tanah peneroka tidak dilaksanakan dengan baik dan dilanda pelbagai masalah.
Selain kelewatan kerja membersihkan tapak, Felda juga didakwa tidak menanam dan menyemai anak benih dengan betul, mengabaikan penjagaan tapak sehingga diserang haiwan liar, selain diragui tahap kualiti baja serta anak benih yang dibekalkan.
“Dalam perjanjian Felda memperuntukkan proses tanam semula adalah selama 36 bulan (tempoh kelapa sawit membuahkan hasil) sehingga 72 bulan (bagi tanaman getah) dan dalam tempoh tersebut Felda mengenakan hutang berjumlah RM18,000 setahun.
“Disebabkan kelewatan dan pengabaian daripada Felda sendiri sehingga melebihi tempoh yang dijadualkan, peneroka yang terpaksa menanggung beban akibat jumlah hutang terkumpul yang tinggi dari sepatutnya,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Suhakam disini hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, kira-kira 20 wakil peneroka daripada Felda Tenggaroh, Nitar, Sungai Mas, serta beberapa lagi daripada Felda sekitar Johor hadir manakala Suhakam diwakili Pesuruhjaya Shaani Abdullah dan Pegawai Helmi Fendy Mohammad Idris.
Mazlan yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka PAS Pusat berkata, pihaknya mempunyai bukti dari kalangan kira-kira 80,000 peneroka yang menyertai skim ini, ada antara mereka yang mempunyai rekod hutang sehingga ratusan ribu ringgit.
Berhutang sepanjang hayat
“Seorang peneroka Felda Jengka 16, Pahang yang berumur lingkungan 70-an mempunyai jumlah hutang sebanyak RM91,119. Ada juga yang berhutang sehingga mencecah RM12,000. Mereka ini terpaksa berhutang sepanjang hayat,” katanya.
Selain dibebani hutang kira-kira RM1,500 setiap bulan, Mazlan berkata pihaknya juga tidak berpuas hati apabila Felda turut mengenakan ‘bunga’ sebanyak 6.25 peratus setiap bulan (tidak termasuk hutang persendirian) yang dianggap terlalu tinggi serta tidak munasabah.
“Semasa (Allahyarham) Tun Ghafar Baba menjadi Menteri Luar Bandar pada tahun 1994, beliau memberikan alasan tujuan kadar faedah dikenakan kerana Felda ada hutang dengan Bank Dunia.
“Tetapi hutang itu dah selesai pada tahun 1996, jadi kenapa masih lagi kekalkan kadar faedah tersebut,” soal beliau.
Sementara itu, seorang peneroka daripada Felda Nitar 2 di Mersing, Johor dalam pertemuan tersebut mengadu pihaknya telah mengemukakan masalah ini kepada Presiden Majlis Belia Felda Malaysia Datuk Ramli Ismail, pengurus Felda, ketua kampung serta Pengerusi Biro Ladang pada Oktober tahun lalu, namun jalan penyelesaian masih buntu.
“Menurut perbincangan serta bukti-bukti yang telah dihantar kepada pihak peguam yang dilantik, pihak kami telah membuat keputusan untuk menuntut ganti rugi kepada Felda.
“Ini adalah disebabkan kegagalan pengurus, kakitangan, ketua kampung dan Biro Ladang Felda Nitar 2 yang tidak menjalankan tugas serta tanggungjawab yang dimanahkan,” keluhnya yang sebelum ini mengaku takut untuk bersuara kerana khuatir akan dianggap sebagai peneroka ‘pengkhianat’ dan ‘tidak tahu bersyukur’.
Gagal bela nasib peneroka
Sementara itu, Shaani berkata pihaknya kesal dengan sistem pengurusan Felda yang bukan sahaja gagal membela nasib peneroka, malah mengabaikan tanggunjawab mereka sebagai penjawat awam.
Pihaknya juga memberi jaminan akan memberi keutamaan terhadap kes in serta akan berusaha untuk mengadakan pertemuan antara peneroka dengan pihak Felda.
“Dalam hal ini usaha peneroka Felda untuk mencari nafkah dihalang kerana kelemahan sistem pelaksanaan tanam semula oleh agensi yang bertanggungjawab.
“Peneroka terpaksa tanggung hutang sebabkan kos tambahan yang tinggi. Kalau peneroka tak tanggung, kesannya kerajaan (dengan menggunakan duit rakyat) yang akan tanggung.
“Jadi pekerja awam jangan ambil rendah tanggungjawab ini,” katanya yang khuatir peneroka Felda akan menjadi golongan petani yang tidak berwawasan akibat dibebani pelbagai masalah dan hutang.