80 ribu tong sisa thorium belum ditanam
Mungkin ramai yang menganggap bahawa penduduk Bukit Merah telah bebas dari ancaman radioaktif berikutan penutupan loji pemprosesan nadir bumi, namun pada hakikatnya, terdapat 80,000 tong sisa buangan nadir bumi yang merbahaya tetapi masih belum dikendalikan dengan sebaik-baiknya. Kes Bukit Merah memperlihatkan kita bahawa pengurusan sisa radioaktif adalah satu projek yang menelan kos yang tinggi, malah mengakibatkan pencemaran alam - satu pelaburan yang mungkin lebih mendatangkan kerugian daripada keuntungan. Hew Yoon Tat menjelaskan, tapak pembuangan sisa radioaktif kedua yang dijadualkan siap dibina pada tahun 2006 oleh Asian Rare Earth Sdn Bhd adalah untuk menanam sisa buangan ini di bawah tanah, namun ditundakan kerana masalah teknikal. Menurut laporan The Star pada 13 Jun 2010, pembinaan tapak pembuangan sisa toksik kedua ini dimulakan sejak Januari 2010, malah New York Times pada 8 Mac tahun ini melaporkan bahawa 80,000 tong sisa buangan ini akan dipindah ke tapak pembuangan pada "musim panas tahun ini". MerdekaReview telah menghubungi syarikat Asian Rare Earth, dan pihaknya menyerah kepada bahagian perhubungan awam syarikatnya untuk menjawab soalan wartawan. Pihaknya mengesahkan laporan New York Times, malah memaklumkan bahawa sisa buangan thorium itu akan dipindahkan ke tapak pembuangan kedua pada Julai atau Ogos, dengan pemantauan wakil daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB). Beliau menambah, keseluruhan proses pembersihan ini dijangka siap antara tahun 2013 hingga 2014. Asian Rare Earth yang 35% sahamnya dimiliki Mitsubishi Chemical Holdings telah menutup kilangnya pada 30 April 1994. Namun, 17 tahun kemudian, pembersihan sisa thorium masih belum disiapkan, malah kerja yang paling menyulitkan sedang menunggu di depan. Pihak kilang telah menanam bahan radioaktif yang muatannya 11 ribu truk, termasuk bumbung dan batu-batan kilang, ke dalam tanah yang 25 kaki dalamnya, setelah kilang itu ditutup. Tapak pembuangan sisa toksik ini terletak di hutan simpanan Keledang Hill. Namun demikian, Asian Rare Earth pada ketika itu hanya memasukkan sisa thorium yang beradioaktif ke dalam 80,000 tong besi, dan disimpan di sebelah tapak pembuangan sisa tanpa ditanam ke dalam tanah. Dengan kata lain, penduduk tempatan di sekitarnya masih terdedah kepada ancaman pancaran radioaktif. Hew Yoon Tat yang menyaksikan sendiri bagaimana sisa radioaktif ini dikendalikan ketika itu berkata, sisa thorium seharusnya disimpan dalam tong keluli, namun pihak kilang hanya menyimpan dalam tong besi "second hand" (terpakai) untuk menjimatkan kos. Beliau berkata tong besi terpakai itu tidak tahan lama, dan bimbang telah rosak setelah sekian lama. Menurut laporan New York Times, kerja pembersihan yang paling sulit bakal dijalankan pada "musim panas" ini, dan Asian Rare Earth akan menggunakan robot dan petugas yang dibekalkan kemudahan keselamatan untuk mengeluarkan 80,000 tong sisa buangan toksik ini, dan ditanamkan ke dalam tapak pembuangan setelah dibaur dengan simen dan kapur. Mahathir mendakwa ia amat merbahaya Pengendalian sisa buangan Asian Rare Earth tidak mendapat perhatian untuk sekian lama ini. Malah Tan Ka Kheng yang pernah terlibat dalam perjuangan anti-radioaktif bersama penduduk Bukit Merah tidak menguasai maklumat mengenainya. Sehingga Mei 2010, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa masih terdapat "jumlah kecil buangan nuklear" di negeri Perak, barulah The Star melaporkan bahawa masih terdapat 80,000 tong sisa buangan radioaktif yang belum dipindahkan ke tapak pembuangan kekal. Kebimbangan penduduk Papan Dalam isu Bukit Merah ini, kerajaan dan pihak kilang tidak telus ketika mendedahkan maklumat yang berkenaan. Penduduk yang berhak untuk mengakses kepada maklumat itu tidak dimaklumkan. Lawatan wartawan MerdekaReview ke Papan mendapati penduduk tempatan masih diselubungi kebimbangan. Ketika ditanya sama ada beliau pergi ke kawasan tersebut untuk menjenguk keadaan sebenarnya, Kuan menjawab, "Dia (pihak pengurusan) tak bagi masuk!" Pada hemat Tan Ka Kheng, Asian Rare Earth atau badan pemantau seperti Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) perlu mendedahkan indeks pancaran radioaktif di situ, memandangkan pengendalian sisa buangan ini membawa kesan terhadap kesihatan penduduk. Malah di China, mereka akan mengumumkan indeks buangan air dari kilang setiap bulan, dan jelas Malaysia telah ketinggalan dalam hal ini, kata Tan Ka Kheng. Selain itu, Tan Ka Kheng berkata, "Menteri Besar Perak pernah berkata, 'Asian Rare Earth adalah syarikat swasta, dan bertanggungjawab kepada AELB. Maka maklumat itu tidak perlu diumumkan'. Tapi, jikalau tapak pembuangan sisa radioaktif itu selamat, mengapa takut diumumkan?" Beliau menambah, ini pentingnya Akta Kebebasan Maklumat, agar rakyat boleh mengakses maklumat-maklumat sebegini. Perjuangan penduduk Papan Hew Yoon Tat mengisahkan perjuangan anti-radioaktif yang dimulakan penduduk Kampung Papan pada tahun 1983, dan kemudian merangsang penduduk di kawasan berhampiran seperti Bukit Merah untuk menyertai perjuangan tersebut. Penduduk Papan mengundang pakar dari Britain dan Jepun untuk membuat kaji selidik di tempat mereka, dan berjaya mendesak agar Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Musa Hitam untuk mengumumkan agar tapak baru dicari untuk pembuangan sisa pada tahun 1984. Menurut keratan akhbar pada ketika itu, lapan orang penduduk Bukit Merah membawa kes ini ke mahkamah pada 1 Februari 1985 untuk memohon agar Asian Rare Earth dihalang untuk terus beroperasi. Pada 14 Oktober 1985, Mahkamah Tinggi meluluskan permohonan penduduk. Namun demikian, pada Disember 1986, AELB yang belum genap setahun ditubuhkan, meluluskan lesen kepada Asian Rare Earth, dan kilang ini kembali beroperasi pada Februari 1987. Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC) menganjurkan demonstrasi 20,000 orang pada 12 April 1987. *Chan Wei See ialah Pemangku Ketua Pengarang MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal. Gambar-gambar lama di atas diambil daripada Hew Yoon Tat. |