Wednesday, May 11, 2011

Suhakam lancar Inkuiri Nasional hak tanah Orang Asli





KUALA LUMPUR, 11 Mei: Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) telah melancarkan satu Inkuiri Nasional buat pertama kali mengenai isu hak milik tanah kaum asal di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli di Semenanjung Malaysia semalam.
Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam, ketika bercakap dalam majlis pelancaran program tersebut menjelaskan rasional terhadap mekanisme itu ekoran banyak menerima aduan dan memorandum mengenai pelanggaran hak asasi manusia berkenaan dengan hak tanah Orang Asli di semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak penubuhannya pada tahun 2000.

Masalah ini pula amat rumit dan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

Menurut beliau,  inkuiri ini ditubuh bukan untuk mencari kesalahan mana-mana pihak tetapi ia adalah satu usaha untuk menyelesaikan sesuatu isu dengan cara yang terbaik.

Dalam majlis yang sama, yang berlansung di Bilik Inkuiri di tingkat 13 Menara TH Perdana, Pengerusi Jawatankuasa Hak Orang Asli Suhakam, Jannnie Lasimbang memberi keterangan berhubung dengan terma rujukan dan proses Inkuiri yang akan dilakukan oleh Suhakam.

Menurut Jannie, pihak Suhakam telah menjemput beberapa pakar yang berkaitan dengan isu pemilikan tanah, antara lain mereka yang berlatarbelakang perundangan dan ahli akademik yang juga merupakan panel anggota suruhanjaya Suhakam.

Selain Tan Sri Hasmy Agam dan Jannie Lasimbang turut serta dalam penal ini adalah Muhammad Sha'ani Abdullah, James Nayagam, Prof Datuk Dr. Khaw Lake Tee, Prof Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen bagi membantu melakukan kajian berkenaan dengan isu Orang Asli itu.

Dalam statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Suhakam berkenaan dengan aduan hak tanah Orang Asli memperlihatkan isu aduan yang berhubung dengan tanah adat yang menjadi fokus utama.  

"Di semenanjung sahaja sebanyak 45 aduan yang diterima oleh Suhakam dari tempoh 2002 hingga 2011 yang berkaitan dengan isu penempatan semula, pampasan, hak milik dan pencerobohan yang berlaku terhadap Orang Asli.

"Di Sarawak pula, memperlihatkan pertambahan isu berkenaan dengan aduan berhubung dengan tanah adat di kawasan pendalaman Sarawak iaitu isu kawasan tadahan air hujan, hutan simpan dan tuntutan bertindih dengan jumlah statistik keseluruhannya berjumlah 229 aduan yang diterima oleh Suhakam.

"Manakala di Sabah pula,sebanyak 824 aduan yang telah dikemukakan sepanjang tempoh 8 tahun tersebut," jelas Jannie

Justeru itu, beliau menjelaskan Suhakam melihat penyelesaian segera adalah perlu bagi memastikan hak-hak orang asli terutama berkaitan tanah diberikan perhatian sewajarnya.

Program yang dilancarkan ini adalah rentetan daripada bengkel yang dianjurkan oleh Suhakam berkenaan dengan Sistem Perundangan Orang Asli pada 23 Mac 2011 bertempat di Golden Chersonese Mediahall, Tingkat 10, Multaqam Hall  Maju Junction yang telah dihadiri seramai 100 orang daripada 12 suku kaum Orang Asli, wakil kerajaan, peguam dan badan bukan kerajaan.

Dalam bengkel tersebut, Jannie pernah memberikan jaminan bahawa Suhakam akan meneliti perbincangan dalam bengkel itu dan akan membentangkan laporan yang diterima dari bengkel kepada kabinet dan juga Parlimen.

Antaranya tentang pembalak haram dan pencorobohan kerajaan atas nama pembangunan telah menggugat habitat semula jadi Orang Asli.

Tanah Orang Asli dirampas dan diteroka menyebabkan sempadan tanah-tanah mereka semakin mengecil saban hari.

Selain itu, ia menggugat habitat mereka, penerokaan ini juga telah mengganggu adat Orang Asli.

Kini mereka tidak boleh berpindah berapa banyak yang tidak boleh mereka lakukan seperti dahulu.

Mereka akan pulang ke tempat asal mereka dalam masa 7 atau 8 tahun sekali dan bukan lagi 13 atau 14 tahun sekali seperti dahulu, katanya dalam bengkel tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa perlu diketahui bahawa Parlimen tidak pernah membahaskan  tentang  laporan tahunan Suhakam sejak ia ditubuhkan 12 tahun yang lalu.

Malah, Janine mengatakan bahawa Suhakam hanya mampu membuat cadangan kepada Parlimen dan kabinet dan tidak boleh membuat dasar tersendiri berkenaan hak asasi manusia.

Justeru itu, untuk memperbaiki keadaan Orang Asli dan hak asasi manusia secara amnya, beliau menyeru kepada kerajaan agar Suhakam diberi lebih kuasa dan segala laporan Suhakam mesti dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Malah ia juga perlu diberi kuasa untuk membuat dasar yang berdasarkan kepada laporannya.

"Jika laporan Suhakam tidak diberikan perhatian yang serius, maka ia meupakan satu pembaziran wang rakyat," katanya lagi.

Afiq Hizami, Pelatih UKM