Monday, October 31, 2011

37 GLC tak bayar dividen

Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 31 Okt: 37 daripada 47 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dibuat kajian oleh Jabatan Audit Negara dikenalpasti tidak membayar dividen pada tahun 2009, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Dividen yang dikeluarkan oleh 10 syarikat terbabit bagaimanapun didapati lebih rendah, iaitu hanya RM30.03 bilion, berbanding tahun  sebelumnya sebanyak RM30.04 bilion.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata, di antara syarikat yang tidak membayar dividen itu, terdapat syarikat yang mencatat keuntungan besar selama 3 tahun berturut-turut termasuk Malaysia Bio Teknologi.

Menurutnya, 8 syarikat lain yang turut dikenalpasti tidak membayar dividen termasuk Sarawak Hidro dan Khazanah Nasional Berhad.

Katanya, di antara syarikat yang tidak membayar dividen itu, 6 daripadanya melaporkan mengalami kerugian, tetapi membayar bonus sehingga 3 bulan gaji kepada kakitangannya.

"Antara syarikat yang tidak membayar dividen dan yang melaporkan mengalami kerugian tetapi membayar bonus 3 bulan gaji itu termasuk Prasarana dan IWK," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Disebabkan hanya 10 syarikat sahaja yang membayar dividen, menurut beliau, kerajaan hanya memperolehi pulangan sebanyak RM90 bilion sahaja.

Beliau kesal kerana pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Kewangan tidak menjawab pertanyaan yang dibangkitkannya berhubung kewajaran kerajaan membuat pelaburan dalam satu sektor sahaja.

Persoalan itu dibangkitkan ekoran soalan asalnya yang meminta Menteri Kewangan menyatakan kedudukan terkini tentang prestasi pelbagai GLCs yang telah mengalami program tranformasi.

"Khususnya, apakah faktor-faktor kekangan yang masih memerangkap pelbagai GLC yang sehingga kini gagal dibaik pulih atau diturn-aroundkan," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.