Thursday, November 3, 2011

Di Sebalik Tabir Besi......

ANAK TERBAIK DARI BUMI AFRIKA - ANAK TERBAIK DARI DUNIA ARAB

SELAMAT TINGGAL LIBYA




SURAT KEDUA TENTANG GADAFFI

Tuan yang saya hormati,

Surat pertama saya minggu dahulu tentang Muammar Gaddafi telah mendapat pelbagai reaksi. Ada yang bersetuju. Dan ramai juga yang tidak bersetuju dengan pandangan saya itu. Kepada mereka yang bersetuju saya meminta mereka untuk terus membaca dan mengkaji. Kepada mereka yang tidak bersetuju maka saya arahkan surat kedua saya ini kepada mereka.

Untuk memulakan surah biar saya nyatakan disini tentang dua patah perkataan. Dua perkataan ini adalah jampi dan mantra geopolitik hari ini. Dua perkataan ini adalah realpolitik yang sedang berlaku dihadapan mata kita. Jika kita memiliki makrifat tentang dua perkataan ini maka kita akan memahami apa yang sedang berlaku dalam dunia hari ini.

Pertama: Minyak. Kedua : China. Dua perkataan ini adalah kunci untuk kita memahami makrifat politik dunia. Memahami politik dunia akan membantu kita untuk memahami politik dalaman Malaysia. Gagal memahami : Minyak dan China - maka kita akan gagal dalam menganalisa situasi politik. Analisa politik yang tidak tepat akan membuatkan kita memilih taktik dan stratiji yang salah dalam pejuangan untuk menumpaskan kezaliman untuk mendirikan keadilan.

Tuan yang saya muliakan,

Pasti tuan akan bertanya apa hubungan Minyak dan China dengan wafatnya Muammar Gadaffi?

Tuan yang saya muliakan, dalam surat saya yang lalu telah saya nyatakan bahawa banyak syarikat minyak antarabangsa telah tidak dibenarkan menjarah minyak di Libya. Libya bukan macam Kuwait atau Berunai dimana Shell, BP, Cheveron, Esso atau Exxon bebas untuk menjarah harta kekayaan negara. Gadaffi telah melarang syarikat antrabangsa ini masuk dengan wenang wenang.

Apakah tuan tidak percaya dengan surah saya ini? Biar saya bawa tuan kembali untuk mengingati sejarah pada 5 April 1986. Pada malam itu sebuah bom telah meletup didalam sebuah kelab malam di Berlin. Tiga soldadu Amerika gugur. Rumah Puteh di bawah Ronald Reagan ketika itu mengambil tindakan balas dengan mengebom Libya pada 14 April. Sasaran pertama ialah rumah kediaman Gadaffi sendiri. Seramai 50 orang warga Libya gugur termasuk anak perempuan Gadaffi sendiri.

Tindakan Ronald Reagan ini berdasarkan kenyataan seorang saksi yang bernama Mushad Eter. Tetapi dari ZDR – stesen tv German - yang menyiarkan program siasatan pada 28 Ogos 1998 – didapati bahawa Mushad Eter ini ialah ajen CIA. Dan orang yang bertanggung jawab meletakkan bom ke dalam kelab malam itu ialah Mahammed Aamir seorang ajen Mossad dari Israel.

Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah rancangan untuk membunuh Gadaffi ini telah lama berjalan. Fail : Mesti Bunuh Gadaffi – telah ada di meja CIA semenjak tahun 70’an lagi. Jika tuan masih tidak yakin dengan surah ini biar saya buka satu lagi surah. Kali ini saya adalah perawi saheh kerana ketika pesawat udara Pan Am Flight 103 meletup di Lockerbie pada 21 Disember 1988 saya masih lagi tinggal dalam kota London. Saya mengikuti –membaca dan menonton – dengan rapi sekali kes ini.

Trajedi udara di Lokerbie telah menewas 270 penumpang. Dengan serta merta Ronald Reagan telah menuduh Gadaffi dan Libya. Kerajaan British dibawah Magaret Thatcher amat bersedia untuk mengikut telunjuk Ronald Reagan. Majlis Keselamatan PBB telah mengambil langkah membuat sekatan keatas Libya. Dua warga Libya Abdel Basset Al Megrahi dan Al Amin Khalifa telah ditangkap dan didapati bersalah. Tetapi kaum keluarga yang gugur merasa tidak puas hati dan mereka membuka kes ini sekali lagi.

Pada bulan Ogos 2005 Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Scotland telah membuat kenyataan bahawa bukti baru telah ditemui. Bomb jangka dalam kapalterbang tidak dipasang oleh warga Libya tetapi telah dipasang oleh ajen CIA. Saksi utama seorang penjual kain baju di Malta telah mengaku bahawa dia telah dibayar sebanyak 2 juta dolar oleh CIA untuk memberi keterangan palsu dan mengkaitkan Libya.

Memasang bom dan kemudian menuduh orang lain melakukannya bukan satu taktik yang baru. Kita pernah mendengar bagaimana polis meletakan dadah atau parang sebagai bahan bukti. Di Malaysia sendiri kita semua telah melihat bagaimana Mahathir Muhamad merancang kes rampasan senjata di Sauk pada 31 Ogos 2000. Dikatakan tiga buah Pajero telah berjaya mengambil senjata seberat 3 tan dalam masa 15 minit. Mahathir telah menuduh kumpulan silat Al-Maunah. Sebenarnya ini adalah persediaan Mahathir untuk menggunakan ISA terhadap Gerakan Reformasi. Ini terbukti saheh : Pada 10 April 2001 seramai 10 orang aktivis Reformasi telah ditangkap dibawah ISA.

Letupan bom di Berlin dan meletupnya diudara kapalterbang di Lockerbie terbukti kerja jahat CIA. Kenapa semua ini dilakukan? Jawapannya cukup senang. Minyak. Minyak. Minyak. Gadaffi tidak membenarkan syarikat minyak antrabangsa menjarah Libya. Justeru Gadaffi wajib dilupuskan.

Tuan yang saya muliakan, saya telah banyak menulis untuk menerangkan bahawa tamadun moden hari ini adalah Tamadun Minyak. Kalau dulu manusia telah melintasi Zaman Batu, Zaman Gangsa, Zaman Wap – hari ini saya namakan tamadun Zaman Minyak. Ini kerana asas ekonomi dunia kapitalis hari ini ialah minyak. Tanpa bahan bakar petrol dunia kapitalis dan sistem ekonomi kapitalis akan runtuh. Justeru kita semua wajib menerima hakikat bahawa bahan bakar petrol ini adakh kunci sistem ekonomi kapitalis.

Kuasa kolonial Eropah – German, British, Itali, Peranchis , Belanda, Belgium – semuanya ada memiliki tanah jajahan di Afrika. Sesudah biji durian dimakan kulitnya dibuang – inilah sikap penjajah. Negara kolonial Barat telah meninggalkan Afrika tempang, mundur dan miskin. Afrika tidak lagi menjadi wilayah yang menarik untuk kaum kapitalis melabur seperti di Siam, Malaysia atau Korea. Disini negara China – negara kapitalis yang baru bangun – tanpa segan silu telah masuk ke Afrika untuk melabur.

Libya menjadi bagitu penting untuk China kerana kedudukan Libya betul-betul ditengah benua Afrika. Di Selatan Libya terbentang padang pasir yang membuka benua Afrika manakala di utara ialah Laut Tengah. Ketika Libya diserang Nato ada lebih kurang 75 buah syarikat China dengan 36,000 tenaga kerja. Mereka sedang membina bangunan, lebuh raya dan mendirikan infrastruktur pembangunan.

Tiga syarikat minyak China – CNOC, Sinopec Group dan CNOOC beroperasi mencarigali di Libya. Ketika diserang oleh Nato, Libya membekalkan China 150,00 tong minyak sehari – ini adalah 3% dari keseluruhan keperluan China dan ianya hanyalah 1/10 ekpot minyak Libya. Secara nisbah Libya menjadi negara pembekal minyak yang amat penting untuk China.

Hari ini ekonomi China adalah ekonomi kapitalis yang kedua terbesar didunia sesudah Amerika Syarikat. Tidak berapa lama lagi kekuatan ekonomi Amerika akan diambil alih oleh ekonomi China. Kekuatan ekonomi Amerika Syarikat akan menjadi sejarah. Fakta ini diketahui oleh CIA, diketahui oleh Rumah Puteh, diketahui oleh Israel. Apabila kuasa ekonomi merundum bermakan kuasa politik akan merundum sama. Ini makrifat realpolitik.

Untuk ekonomi China berkembang dan terus bergerak bahan bakar petrol amat diperlukan. China memerlukan minyak mentah bukan sahaja dari Afrika malah dari mana sahaja. Justeru, China telah melabur di Sudan, di Dafur, di Chad. Fakta ini bukan satu rahsia.

Kalau membuka kembali sejarah terkini kita akan membaca bagaimana syarikat minyak China telah diketepikan di Iraq oleh pentabiran Amerika sesudah Saddam dibunuh. Perjanjian carigali antara syarikat China dengan Iraq lupus. Wilayah carigali yang telah diberikan kepada China diambil alih oleh syarikat minyak Amerika – yang selama ini tidak dibenarkan masuk ke Iraq oleh Saddam. Pekara yang sama akan berlaku di Libya.

Tuan yang saya hormati,

Apa yang ingin saya katakan disini ialah wujudnya persaingan yang maha hebat antara Amerika dengan China. Sayugia diingatkan dari strateji ketenteraan , China adalah musuh Amerika. China dianggap berpotensi untuk bangun malah berkemungkinan mengalahkan Amerika. Justeru dari awal lagi strateji ketenteraan Amerika ialah merancang untuk mengepong China. Amerika merancang untuk memastikan China tidak akan dapat membangunkan ekonominya secara terancang dan berkemungkinan menggugat ekonomi Amerika.

Tuan yang saya hormati,

Dalam persaingan dua kuasa gergasi ini – dalam percaturan real politik Amerika dan China – Saddam, Gadaffi, Mahathir, Anwar Ibrahim, Najib Razak – hanyalah Pak Pacak yang dijemput menayangkan muka atau ditendang keluar apabila tidak diperlukan lagi. Tuan pasti menganggap bunyinya amat kasar. Saheh – memang kasar – tetapi dalam dunia kapitalis yang halus hanya kuasa bala tentera. Kuasa ini bertujuan untuk mencari keuntungan. Justeru, Gadaffi di Libya dianggap sebagai penghalang untuk penerusan strateji politik, ekonomi dan ketenteraan Amerika.

Saya berharap tuan telah pernah membaca atau sekurang-kurangnya telah mendengar AFRICOM – Africa Command – yang diwujudkan pada tahun 2007. Ini adalah perjanjian ketenteraan antara Amerika Syarikat dengan negara-negara Afrika. Amerika mahu 54 buah negara Afrika membuat perjanjian ketenteraan dibawah AFRICOM. Ini samalah seperti FPDA - Five Power Defense Arrangements antara Malaysia, Singapura, Auatralia, Newa Zealand dan Britain. Perjanjian ini untuk memastikan Malaysia akan terus berada dibawah telunjuk Britain.

Biar saya beritahu disini bahawa Libya dibawah Gadaffi bukan sahaja tidak mahu menyertai AFRICOM malah telah menjalankan aktiviti melawan AFRICOM. Lembaga ini bercadang untuk menubuhkan satu bala tentera Afrika yang bersatu dibawah komand tentera Amerika. Opps... hampir saya terlupa, walau pun namanya AFRICOM tetapi ianya beribu pejabat di Stuggart Germany.

Gaddafi sebagai anak terbaik dari benua Afrika, sebagai anak terbaik dunia Arab telah menyusun strateji untuk menentang AFRICOM. Pada persidangan African Union Febuari 2008 satu ketetapan telah diambil untuk menolak AFRICOM. Ini satu tamparan keatas kuasa imperialis Anglo-Amerika. Gaddafi menentang kuasa bala tentera imperialis Anglo- Amerika. Justeru, Gaddafi wajib dibunuh.

Hampir saya terlupa - sebelum Raja Idris dijatuhkan oleh Gaddafi pada tahun 1969 – Amerika Syarikat memiliki sebuah lapangan terbang tentera yang terbesar didunia – Wheelus Air Base. Apabila Gadaffi mengambil alih Libya lapangan terbang ini ditutup. Satu lagi jenayah Gaddafi.

Tuan yang saya muliakan,

Semua yang saya tulis ini tidak dapat dibaca dalam media antarabangsa. Ini kerana mereka berkepentingan untuk menjatuhkan Gaddafi. Manakala penulis media tempatan mungkin kerana malas atau kerana mereka tidak mengambil maths dan sains dalam Bahasa Inggeris – maka mereka tidak berkeupayan untuk menulis.(TT)