Sunday, March 13, 2011

Gempa bumi Jepun: Hampir 10,000 hilang, 1,300 sah mati




Pemandangan sehari selepas tsunami memusnahkan sebahagian besar kawasan pantai timur laut dekat lapangan terbang Sendai. – Foto Reuters
TOKYO, 12 Mac – Sekitar 10,000 orang yang tinggal di sebuah bandar pelabuhan di timur laut Jepun dikhuatiri hilang akibat gempa bumi paling buruk dalam 140 tahun lalu dan tsunami setinggi 10 meter semalam. Situasi itu dikhuatiri akan menaikkan angka kematian yang setakat ini disahkan sekitar 1,300 orang.
Media tempatan dan asing melaporkan orang ramai dalam jumlah itu tidak dapat dikesan di Minamisanriku sejak semalam sementara pihak berkuasa mengesahkan kira-kira 1,300 orang terbunuh.
Tentera Jepun juga berkata pihaknya telah mengesan 300 hingga 400 mayat di bandar raya Rikuzentakata, Iwate.
Gempa bumi pada skala 8.9 melanda kawasan timur laut petang semalam.
Walaupun Jepun telah bersedia untuk menghadapi kesan gempa bumi dan tsunami, tetapi ramai terperangkap dalam tsunami yang tercetus dalam tempoh setengah jam semalam.
Kawasan Fukushima, antara bahagian yang paling turuk dilanda gempa bumi dan tsunami hari ini digegarkan dengan gegaran susulan pada skala 6, sekitar pukul 9.15 malam tadi.
Sementara kerja-kerja operasi dan menyelamat dijalankan, Perdana Menteri Jepun Naoto Kan mengisytiharkan darurat di kawasan loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi dan Daini (yang turut dikenali sebagai Fukushima 1 and 2).
Tokyo Electric Power Co (Tepco), operator loji berkata empat pekerja tercedera.