Saturday, March 12, 2011

Betul Ke?

 
Komen:
Jujur dan ikhlas bermaksud lidah, hati dan perbuatan adalah bersamaan dengan perbuatan.
Kalau setakat lidah yang berkata-kata tanpa diikuti dengan perbuatan atau perbuatan lain dari yang dicakap, bolehlah dikatakan menipu, tidak jujur dan tidak ikhlas.
Bahasa Melayu adalah hak semua bangsa. Tapi yang paling berhak dan menentukannya adalah orang-orang Melayu sendiri, bukan Cina atau India. Sementelah UMNO menjadi tulang belakang pemerintah, yang mempunyai kuasa penentu, bukannya MCA atau MIC.
Yang mengutamakan Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, universiti dan jabatan kerajaan adalah siapa? Yang menghilangkan tulisan melayu jawi di sekolah adalah siapa? Sudah tentu ianya bukan orang Cina atau India. Jauh sekali oleh parti pembangkang PKR, DAP atau PAS.
Cubalah kita renungi artikel di bawah:
 
Najib jamin bahasa Melayu dipelihara
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong ke arah usaha mengembang dan memperkasa bahasa Melayu.

NONE"Bahasa Melayu yang sekian lama menjadi bahasa pertuturan rasmi dan juga bahasa kebangsaan Malaysia akan terus terpelihara, diperkemas dan dikembangkan di dalam mahupun luar negara," katanya ketika merasmikan Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di Putrajaya semalam.

Katanya bahasa Melayu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran serta hambatan dalam era globalisasi dan perkembangan dunia teknologi komunikasi dan maklumat yang melahirkan dunia tanpa sempadan.

Najib berkata terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai di dunia, tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberikan taraf bahasa rasmi.

"Dalam konteks ini kita wajar berasa bangga kerana bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu dan menduduki 10 tangga bahasa terpopular penggunaannya di dunia," katanya.

Beliau berkata sekiranya digabungkan penggunaan bahasa Melayu dalam gugusan kepulauan Melayu Nusantara, jumlah yang diperolehi adalah seramai kira-kira 300 juta orang.

Ia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kelima terbesar dari segi jumlah penutur, dan ia juga diberi taraf bahasa keempat terbesar di dunia dari segi meluasnya penggunaan bahasa itu.

"Walau apapun, jumlah penutur sahaja tidak boleh dijadikan ukuran tepat sebaliknya terdapat beberapa ciri-ciri lain yang perlu untuk kita penuhi bagi melayakkan bahasa Melayu itu kekal dipanggil sebagai bahasa dunia.

"Pengaruh sesuatu bahasa memainkan peranan yang dominan untuk memajukan sesuatu bangsa itu apatah lagi dalam usaha kita memartabat dan memperkasa bahasa Melayu ke pentas dunia," katanya.

Dalam pada itu menyedari hakikat bahawa penterjemahan memainkan peranan yang amat besar dalam membangunkan sesebuah tamadun, Najib berkata Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) akan diperkasa untuk meneruskan kelestarian bidang penterjemahan.

"Kerajaan akan memberikan sokongan kepada ITNM bagi memperkaya kepustakaan berbahasa Melayu sebagai wahana pemikiran bangsa Malaysia di samping mengantarabangsakan karya kebangsaan secara berterusan melalui aktiviti penterjemahan supaya setanding dengan karya-karya yang diiktiraf dunia," katanya.

Katanya setakat ini beberapa karya ulung diterjemah ke bahasa Melayu, antaranya Siddharta, A History of Mathemathics, Culture and Imperialism, The End of History and The Last Man, Revival and Reform in Islam, dan juga The Great Ideas.

"Terkini saya diberitahu karya tersohor Jalaludin al-Rumi bertajuk Masnawi yang asalnya dalam bahasa Parsi sedang dibuat penterjemahannya.

"Dalam pada itu seperkara yang agak unik buku tulisan saya bertajuk Menakhoda Zaman pula sedang giat diterjemah ke dalam bahasa Parsi," katanya.

Bagi merangsang aktiviti terjemahan terutamanya karya-karya besar dunia ke dalam bahasa Melayu dan usaha-usaha pengukuhan keupayaan, Najib berkata kerajaan akan menimbang untuk memberi peruntukan khas kepada ITNM, yang jumlahnya akan ditentukan nanti.

"Diharapkan dengan suntikan ini ia akan mampu merancakkan lagi senario terjemahan tempatan," katanya.

Menyentuh tentang Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu hari ini, Najib menyarankan supaya pertandingan yang mempunyai nilai amat tinggi itu tidak hanya bertumpu kepada penganjuran pertandingan pidato sahaja.

"Ia seharusnya diperluas kepada pelbagai program signifikan yang boleh memberikan nilai tambah kepada pembangunan dan pemerkasaan bahasa Melayu. Usaha ini akan membawa impak yang besar dan bermakna bukan sahaja kepada bahasa Melayu tetapi tentunya negara kita Malaysia," katanya.

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri kali kelima ini menyaksikan penyertaan 56 buah negara meningkat dari 23 negara sebelum ini.

Pada malam ini lapan peserta berentap di peringkat akhir iaitu dari Rusia, Singapura, Turki, Brunei, Korea Selatan, China, Australia dan Malaysia.

Peserta Malaysia Amiruddin Abd Rahman dengan tajuk pidato "Bangsa Berilmu Bangsa Bertamadun" muncul juara kategori nusantara manakala Halil Ibrahim dari Turki dengan tajuk pidato "Generasi Muda Hari Ini Penentu Hari Esok" menjuarai kategori antarabangsa.

Juara kedua-dua kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai USD5,000, hadiah iringan dan sijil.

- Bernama
 
 
Semasa bekerja di Queen Mother Library, saya diminta untuk melayan seorang pengunjung, warga emas Scottish. Walaupun saya menjangkakan yang umur beliau sudah mencecah umur 70-an dan sudah bertongkat, tetapi datuk Scottish ini kelihatan cerah fizikal dan akal.
Semasa menguruskan kad keahlian perpustaan beliau, banyak soalan diajukan kepada saya. Antara yang amat menarik perhatian saya ialah:

Are you jawi people.. errr I mean from Malaya?
Yes I am from Malaya. We call our country now as Malaysia.
How do you have a good English (Latin character) writing?
Because simply Id been grown up by this.
Ohh dear me, I thought Malayan people are still using this Arabic or Quranic font to write their language. I still remember its called jawi, and even a lot of people call your people as jawi.
Rupa-rupanya pakcik itu, seperti ratusan bahkan mungkin ribuan lagi warga British yang lain, pernah berkhidmat menjajah Tanah Melayu suatu masa dahulu. Beliau terkejut kerana tulisan jawi sudah tidak lagi digunakan secara meluas di negara kita, sedangkan semasa beliau bertugas di negara kita sepanjang sekitar tahun 40-50an, tulisan jawi digunakan secara meluas. Bahkan beliau sendiri boleh mengingati beberapa huruf arab/jawi.
Sepanjang pemerhatian saya, kebanyakan warga emas di Malaysia lebih fasih membaca tulisan jawi berbanding tulisan rumi. Mana tidaknya, itulah dia tulisan rasmi sewaktu mereka di bangku persekolahan. Arwah abah saya sendiri, yang pernah menjadi salah seorang pegawai atasan Telekom, banyak mencatat di dalam jawi. Arwah atuk saya, melanggan akhbar Utusan Melayu yang kini telah dipusarakan. Bahkan, pemasyhuran kemerdekaan pada tahun 1957 turut ditulis di dalam tulisan jawi. Itu belum ditelek lagi dokumen perjanjian perdagangan antara Raja-raja Melayu dengan pedagang dan penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris lagi.
Ketika pendita Zaba telah memberikan nafas baru kepada tulisan jawi dengan karya agungnya Rahsia Tulisan Jawi, agak malang kerana anak-anak didik penjajah berkulit sawa matang telah mentalkinkannya di dalam sistem pendidikan. Permulaan kepada pengakhiran tulisan jawi, ialah selepas perlaksanaan Akta Bahasa 1963 ketika mana tulisan rumi telah dijadikan tulisan rasmi di dalam urusan kerajaan khususnya di dalam sistem pendidikan. Apa yang berlaku di negara kita pada waktu tersebut ialah duplikasi sekularisasi daripada negara Turki, setelah kejatuhan khilafah Uthmaniyyah, antara keutamaan anak didik penjajah ketika itu ialah melatinkan tulisan Turki yang asalnya menggunakan huruf Arab.
Daripada wujudnya kelas jawi di sekolah rendah, akhirnya jawi terkubur di dalam buku teks subjek Pengajian Islam sahaja. Kesannya, ialah generasi muda yang merangkak-rangkak membaca jawi dan yang sedihnya, menjejaskan kelancaran bacaan al-Quran mereka. Ya saya akui ada perdebatan akademik mengenai adakah tulisan jawi membantu bacaan al-Quran, akan tetapi itu bukan soal pokok yang ingin saya bincangkan di sini.
Akhbar tulisan Urdu di UK
Di United Kingdom, saya rasa kagum dengan bagaimana orang-orang Pakistan dan India yang ramai bermigrasi di sini memelihara tulisan Urdu mereka supaya sama dengan tulisan Arab. Anak-anak muda mereka masih lagi lancar menulis di dalam tulisan Urdu, walaupun bersekolah Inggeris, dan hidup pun gaya British. Mereka masih mampu menerbitkan surat khabar di dalam tulisan Urdu di negara sekular ini, dan ianya dibaca secara meluas. Pergilah sahaja ke masjid, atau ke kedai halal, anda akan dapat melihat tulisan Urdu.
Cuma alhamdulillah ketika pemerintahan Tun Abdullah dengan slogan Islam Hadharinya, beliau telah menggagaskan j-Qaf. Pada peringkat awal, saya pun tidak tahu apakah yang dimaksudnya dengan j-Qaf. Rupa-rupanya, ia adalah merupakan satu cubaan untuk menyuntik nafas baru di dalam subjek Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain (singkatannya ialah j-Qaf). Ramai rakan-rakan sepengajian saya di Mesir bekerja sebagai guru j-Qaf di sekolah kerajaan. Ketepikan khilaf politik, didoakan agar usaha itu boleh mengembalikan kegemilangan tulisan jawi.
Dan tidak cukup dengan itu sahaja, generasi saya, iaitu generasi mak abah kepada anak-anak moden perlu sedari awal mendidik anak-anak kita dengan tulisan Arab. Pendedahan awal akan memastikan mereka lancar membaca al-Quran apabila dewasa nanti. Tulisan jawi bagi saya amat membantu penguasaan bahasa Arab dan al-Quran.
Justeru, ketika Pendita Zaba telah berusaha merekaya tulisan jawi dengan karya Rahsia Tulisan Jawinya, maka janganlah kita menjadi generasi yang merahsiakan tulisan jawi di dalam pusaranya.
——————————————————————————–
* Penulis kini menetap di Aberdeen, United Kingdom. Sila lawati blog penulis untuk mengenalinya dengan lebih dekat lagi. www.abidfana.com