AMARAN JANGAN TIPU PILIHANRAYA!!!
SAMA TAK SERUPA
Minggu lalu telinga kita hingar bingar. Pendengaran kita haru biru. Keadaan jadi kuntau muntau. Ini kerana ada beberapa ekor Pak Menteri telah bersilat lidah cuba membuktikan bahawa Malaysia dan Asia Barat tidak sama.
Bila sahaja mereka mula membuka mulut, kita telah nampak yang mereka cuba melebong. Pak Menteri ini amat gerun untuk menyebut nama Tunisia dan nama Mesir. Yang disebut nama Asia Barat.
Lalu kita bertanya : Ikan pekasam jenis apa yang dipanggil Asia Barat ini. Negara yang mana satu namanya Asia Barat. Ini tidak pula dijelaskan untuk Mak Cik Felda yang melopong mendengar labon Pak Menteri yang sedang berceramah di Kerdau dan di Merlimau. Sedih dan sayu memikirkan Mak Cik Felda yang terus menerus kena tipu.
Dari pendekatan saikoloji amat jelas Pak Menteri ini takut untuk menyebut nama Tunisia. Ini kerana ada bunyi… SIA di belakangnya. Badan Pak Menteri mengigil sejuk mendengar nama Mesir kerana nama negara ini bermula dengan huruf M. Mereka akan sakit jiwa apabila mendengar atau membaca apa sahaja berita tentang Mesir atau Tunisia, Bahrainisia, Yemenisia, Jordanisia atau Libyasia.
Seperti Pak Pandir – nama-nama negara Arab ini telah menjadi:
Tok Tok Kai
Serondong batang
Apa hinggap di tengah belakang
Memang betul Mesir dan Malaysia tidak serupa. Memang betul Tunisia dan Malaysia bunyinya sama tetapi satu di bumi tropikal dan satu di Laut Tengah. Sungai Nil dan Sungai Klang tidak serupa. Pokok durian dan pokok tamar tidak serupa. Kulit sawo matang Melayu dengan kulit buah zaiton Arab tidak serupa.
Tidak serupa bukan bermakna tidak sama. Pokok durian dan tamar adalah pokok. Sungai Nil dan Sungai Klang adalah sungai. Justeru, warga Mesir dan warga Malaysia ada manusia. Warga Mesir bukannya kambing dan warga Malaysia bukan kaldai. Jika diterima hakikat bahawa warga Mesir dan Malaysia ini manusia maka mereka akan memiliki ciri-ciri kemanusiaan yang sama.
Yang pokoknya – rakyat di Mesir menuntut keadilan dan turun ke jalan raya melawan kezaliman. Rakyat di Malaysia juga menuntut keadilan dan turun ke jalan raya melawan kezaliman. Ini asas kesamaan. Ini hakikat. Ini realpolitik – bukan politik berkempen untuk menjadi ketua bahagian Kampong Gagu.
Kita pun jadi hairan dan tertanya-tanya. Kenapa Pak Menteri ini risau kalau Mesir dan Malaysia tidak sama. Kalau Tunisia dan Malaysia tidak sama? Kenapa mula melebong panjang dengan teori bahawa Malaysia ini berbeza dari Mesir. Malaysia ini spesial. Malaysia ini lain. Dan Malaysia ini unik.
Betul ke?
Mari kita lihat persamaan antara Mesir dan Malaysia. Mula-mula mari kita lupakan huruf M yang tidak membawa apa-apa makna yang mendalam kecuali untuk Pak Menteri yang takut dengan Tok Tok Kai yang akan hinggap ke atas belakangnya.
Paling menonjol persamaan Mesir dengan Malaysia ialah kedua-dua negara ini sedang diperintah dibawah undang-undang darurat. Di Mesir undang-undang darurat di istiharkan semenjak tahun 1981 – apabila Presiden Sadat mati dibunuh. Hingga ke hari ini undang-undang darurat ini masih diguna pakai untuk memukul musuh politik rejim Mubarak.
Di Malaysia – ramai warga tidak sedar – bahawa kita di Malaysia ini masih tertaklok di bawah undang-undang darurat. Pertama diistiharkan oleh British pada 20 Jun 1948, kemudian oleh Mageran tahun 1969 dan pada tahun 1974. Undang-undang darurat ini masih diguna pakai. Kerana itu jika kita duduk lima orang di warong, mengikut tafsir undang-uandang darurat kita boleh ditangkap. Lebih dari tiga orang akan ditafsir sebagai perhimpunan haram. Larang-larangan yang sedang menafikan hak asasi kita untuk berkumpul itu adalah sebahagian dari undang-undang darurat peninggalan British.
Undang-undang darurat ini digunakan oleh British untuk memastikan penjajah British akan terus berkuasa di Tanah Melayu ketika Parti Komunis Malaya sedang mengangkat senjata melawan mereka. Undang-undang darurat yang sama tidak pernah dimansuhkan oleh parlimen walau pun British telah lama lari. Undang-undang British ini terus digunakan oleh United Malay National Organistation untuk memastikan mereka terus berkuasa dan memastikan Pakatan Rakyat mustahil akan sampai ke Putrajaya kecuali naik bas.
Mesir dan Malaysia sama-sama mengakui bahawa negara ini mengamalkan sistem demokrasi dengan pilihanraya. Mesir ada parlimen, perdana menteri, menteri dan presiden. Semua ini dipilih melalui pilihanraya. Tidak berbeza dengan Malaysia – hanya di Malaysia kita tidak ada Presiden.
Mubarak telah menjadi Presiden semenjak tahun 1981. Awalnya Mubarak telah dilantik oleh parlimen untuk menjadi Presiden. Pada tahun 2005 perlembagaan telah diubah. Perubahan tahun 2005 ini membolehkan Mubarak dipilih melalui pilihanraya untuk menjadi Presiden selama 6 tahun lagi. Lihat bagaimana parlimen dan perlembagaan diubah suai untuk memastikkan Mubarak terus berkuasa.
Di Malaysia selama lebih 50 tahun proses pilihanraya ini telah dimanipulasi untuk memastikan United Malay National Organisation terus berkuasa. Ini sama seperti di Mesir. Jangan lupa bagaimana Mahathir Muhamad telah mengubah perlembagaan untuk memastikan sesudah tiga tahun parlimen – tidak akan ada lagi pilihanraya kecil jika kerusi itu telah kosong. Juga sesiapa yang meletak jawatan dari Parlimen atau Dun akan dinafikan untuk bertanding selama lima tahun. Semua ini adalah kerja jahat United Malays National Organisation untuk memastikan parti ini terus berkuasa.
Pilihanraya di Mesir dan di Malaysia sedang digunakan untuk menipu orang ramai agar tunduk dan memberikan kuasa kepada National Democratic Party dan United Malays National Organisation.
Apa yang amat-amat dibenci oleh warga Mesir? Apa pula sebenarnya yang dibenci oleh warga Malaysia?
Mubarak telah menggunakan undang-undang parlimen untuk menangkap musuh politik. Di Mesir ada ISA dan di Malaysia juga ada ISA. Ramai ahli politik Mesir yang ditahan berbelas-belas tahun dalam penjara tanpa bicara. Ini sama seperti di Malaysia. Musuh politk United Malays National Organisation dahulunya dituduh komunis dan sosialis, ini sama seperti tuduhan yang telah digunakan oleh Mubarak.
Hari ini musuh politik Mesir ialah gulungan agama yang dituduh sebagai extremis Islam. Ramai aktivis dan pemimpin parti Ikhwan Muslimin yang merengkok dalam penjara Mubarak. Extremis Islam ini juga adalah tuduhan yang digunakan oleh United Malays National Organisation terhadap musuh politiknya. Sila ingatkan kembali kepada Al-Maunah dan KMM - mereka ini ditahan tanpa bicara di Kamunting. Tuduhan ‘ extremis Islam’ ini amat menyenangkan telinga kuasa imperial Amerika yang sedang melancarkan serangan terhadap Islam.
RTM – Radio dan Telivisen Mesir dan RTM Angkasapuri tidak banyak bezanya. Tidak ada suara dan pandangan yang berbeza yang mungkin kedengaran dari siaran kedua-dua RTM. Kedua-dua RTM telah digunakan untuk menipu dan mengkaburi pandangan orang ramai terhadap apa yang sebenarnya berlaku.
Kalau di Malaysia ini kita memerlukan lesen untuk mencetak akhbar.Di Mesir juga ada undang-undang yang sama. Media amat dikongkong dan dikawal untuk memastikan rejim Mubarak akan terus berkuasa.
Pada 1 Januari tahun ini satu letupan telah berlaku didalam sebuah gereja Kristian di Iskandariah. Pada 8 Januari 2010 tiga buah gereja di Malaysia tekah terbakar. Baru-baru ini sesudah Mubarak dihalau keluar telah ditemui bukti bahawa pembakaran ini dirancang oleh menteri dalam rejim Mubarak sendiri. Ini dilakukan untuk memastikan ada ketegangan agama. Ketegangan ini amat baik untuk rejim Mubarak meneruskan kuasa. Bila rakyat pecah maka senang untuk diperintah.
Manakala pembakaran gereja di Malaysia ini kesnya hilang lesap entah kemana. Tetapi jari telunjuk telah mula menunjukkan bahawa dibelakang kerja jahat ini adalah mereka yang ingin meneruskan ketegangan bangsa-bangsa. Ketegangan bangsa-bangsa akan menakut-nakutkan orang Melayu. Apabila orang Melayu takut maka mereka seperti warga Mesir akan menyembah Mubarak minta tolong.
Rasuah dan penyalah gunaan kuasa ini telah menjadi pekara biasa di Mesir dan di Malaysia. Mereka yang rapat dengan kuasa akan terlepas dari hukuman. Lihat sahaja kes pembunuhan Altantuya. Najib Razak tidak pernah dipanggil oleh mahkamah walau pun Altantuya adalah bekas kekasih Najib mengikut akuan bersumpah PI Balasubramaniam.
Mati dalam penjara dan lokap menjadi lumrah di Malaysia dan Mesir. Pada 6 June 2010 dahulu Khaled Muhamaded Said berumur 28 tahun telah dibunuh oleh polis di Iskandariah. Pada 16 Julai 2009 Teoh Beng Hock telah mati terbunuh di Shah Alam. Ini belum lagi diambil kira nama seperti Francis, Kugan dan Aminuirasyid yang kini menjadi statistik mangsa pembunuhan oleh gengster berpakaian seragam.
Dalam semua kemarahan dan kebencian terhadap National Democratic Party dan United Malays National Organisation yang paling nyata ialah warga Mesir dan warga Malaysia marah kerana mereka ditipu dalam pilihanraya. Mereka dibodoh bodoh-bodohkan. Mereka digula-gulakan.
Pilihanraya dijalankan dengan tipu muslihat yang licik untuk memastikan National Democratic Party dan United Malays National Organisation menang. Selama 30 tahun warga Mesir ditipu dengan pilihanraya. Selama 30 warga Tunisia ditipu melalui pilihanraya. Selama 40 tahun warga Libya ditipu dengan pilihanraya. Akhirnya mereka turun ke jalan raya.
Pak Menteri yang memberi amaran akan menangkap pemimpin parti pembangkang dengan ISA itu bermata songsang. Menteri ini terlupa , amaran jenis yang sama juga telah dihebohkan oleh Mubarak. Tak ada sesiapa ambil pot. Sebenarnya rakyat sedang memberi amaran kepada para menteri agar jangan menipu dalam pilihanraya. Jika menipu dalam pilihanraya maka warga Malaysia akan memilih jalan raya untuk mengganti kerajaan.
Hampir terlupa – dalam sejarah tamadun Mesir – warga Mesir telah pernah bangun melawan Firaun yang zalim dan mungkar. Dalam sejarah tamadun Malaysia, warga Malaysia pun pernah bangun melawan Firaun, malah lebih ganas, lebih zalim dan munkar dengan nama Mahafiraun a.k.a Mahathir Muhamad. (TT)
nota:
ini bahagian akhir tentang
pergolakan di negara arab.
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN keluaran
terbaru - sila dapatkan dalam
pasaran sekarang