Kuburkan Revolusi Jasmin:
BN kembali yakin berdepan PRU
Barisan Nasional berjaya membuktikan kepada pembangkang, bahawa benih Jasmin yang ditaburkan sepanjang dua pilihan raya kecil serentak ini, iaitu Merlimau dan Kerdau tidak berbunga. Meskipun keputusan PRK ini menyuntik keyakinan kepada BN untuk menghadapi PRU akan datang, namun pengkaji politik menjangkakan bahawa kebarangkalian PRU diadakan lebih awal tidaklah tinggi.
Dengan kemenangan besar BN di kedua-dua kawasan pengundian yang majoritinya terdiri daripada Melayu-Islam, UMNO boleh menyampaikan satu mesej kepada dunia Islam - berbeza dengan negara Timur Tengah yang sedang mengalami "fenomena Jasmin", UMNO-BN adalah kerajaan yang mendapat mandat daripada rakyatnya untuk terus berkuasa.
Seorang lagi pengkaji politik, Wong Chin Huat berkata, sesungguhnya kemenangan secara besar-besaran dalam PRK serentak ini menunjukkan bahawa BN telah mengembalikan kuasanya di kubu tradisionalnya, tetapi ia kekal satu tanda soal sama ada gelombang BN ini bakal membadai kawasan bukan kubu tradisionalnya. Soalan ini hanya terjawab seandainya berlakunya satu PRK di "kawasan berisiko tinggi" untuk BN.
PR gagal pertahankan satu pertiga dalam parlimen?
Kedua-dua Wong Chin Huat dan Phoon Wing Keong menganggap kemungkinan bahawa Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan PRU ke-13 dengan lebih awal, iaitu diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak, adalah rendah.
Phoon Wing Keong pula percaya bahawa kerajaan BN tidak akan membubarkan parlimen secara tergesa-gesa, sebaliknya akan memerhatikan keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi, sebelum memberi kata dua untuk PRU ke-13. Beliau menjangkakan bahawa PRU paling mungkin diadakan selepas pembentangan Belanjawan.
Menurut Wong Chin Huat ketika dihubungi MerdekaReview, seandainya PR gagal menunjukkan prestasi yang terserlah dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang, maka ia mungkin melunturkan semangat PR, lantas memberi kesan langsung terhadap prestasinya dalam PRU.
Jikalau PR hanya menang 11 atau 12 kerusi, atau gagal memperolehi 20 atau lebih kerusi yang cukup untuk menggerunkan BN, maka "PR gagal pertahankan kerusi satu pertiga parlimen" bakal menjadi realiti, ramal Wong Chin Huat. Sebaliknya, PR hanya mampu mengubah senario, sehingga BN tersudut pada kedudukan bertahan, seandainya menunjukkan pretasi yang cemerlang dalam pilihan raya negeri di Sarawak.
Jurang melebar antara bandar dengan desa
Di samping itu, menurut pengamatan Phoon Wing Keong, wujudnya jurang perbezaan politik antara kawasan desa dengan bandar yang ketara, dari apa yang diperlihatkan dalam keputusan PRK Merlimau dan Kerdau. Malah, jurang ini semakin melebar.
Phoon menambah, minda pengundi di kawasan desa lebih konservatif dan berorientasikan kepentingan. Jadi, BN boleh memberi kesan dengan peruntukan, memainkan isu negara Islam atau isu perkauman; sebaliknya, isu yang lebih makro seperti keadilan, kesaksamaan, kebebasan bersuara dan sebagainya, sukar memberi kesan di tempatan.
"UMNO boleh menjadikan kubu di kawasan desa sebagai pengkalannya untuk menyekat kawasan bandar. Namun senario ini pasti akan membataskan usaha transformasi kerajaan. Ini kerana UMNO perlu mengambil kira keperluan penduduk kampung, dan mungkin terpaksa menggugurkan sesetengah dasar transformasi kerajaan," katanya.
*Tulisan ini diterjemah dan disunting daripada teks asal.