Kenyataan 4 Sasterawan Negara tentang kes Interlok
Sudah banyak perbincangan dan debat yang telah diadakan tentang buku Interlok oleh Abdullah Hussein - di akhbar, majalah, di tv dan dunia siber. Dalam wacana ini ada yang jernih di samping banyak juga yang keruh pada sungai perbincangannya. Akan tetapi yang agak dikesalkan ialah hakikat bahawa sangat sedikit golongan, terutama partai politik yang menjadikan pembelaan nasib dan martabat kaum Melayu sebagai landasannya, tampil memberi sokongan moral kepada seorang pengarang Melayu bernama Abdullah Hussein, yang melalui Interlok berbicara tentang kemanusiaan yang merentas sempadan ras dan etnik di tanah airnya.
Kami, Sasterawan Negara Malaysia, ingin menegaskan bahawa sebuah teks sastera bukanlah sebuah teks politik, dan bukan juga teks sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera ialah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarahnya. Yang dilukis didekatkan sehampir mungkin kepada kenyataan di dalam dan di luar diri manusia, kerana karya sastera tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum. Peristiwa di luar - peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan, kerusuhan dan ketenangan - dilukis oleh kata-kata dan peribadi pengarang. Ini telah dilakukan sejak beribu tahun oleh semua pengarang, di semua negara.
Sastera bukan dokumen rasmi pemerintah, atau maklumat yang dirapikan serta dicantikkan untuk disebarkan. Sastera ialah lukisan kehidupan, dan kehidupan tidak selalu rapi dan cantik. Inilah bahan sastera, dan untuk berlaku adil kepada bahan ini sastera melukis dengan warna berbagai-bagai - ada yang merah, kuning, kelabu dan hitam. Itulah warna kehidupan yang lebih banyak jalurnya. Malah pengarang-pengarang dari benua kecil India, telah turut menyentuh isu dalam Interlok yang oleh segelintir orang di sini disensasikan, kerana sistem sosial masyarakatnya telah dinormakan dalam perjalanan panjang peradabannya.
Berlainan dengan dokumen rasmi, sastera menderetkan berbagai-bagai jenis , manusia - seperti yang dilihat pengarang dalam ruang kehidupannya - daripada wira hinggalah penjenayah, daripada ketua hinggalah pengikut buta, daripada ulama hinggalah orang berdosa, dan dari berbagai-bagai bangsa dan kaum. Mereka semua kita temui dalam deretan kehidupan harian. Sastera ialah ucapan dan ingatan bangsa, kerana yang terlukis di dalamnya ialah pemerian tentang bangsa itu.
Kami berpendapat bahawa sastera ada ruangnya sendiri dengan keseniannya yang khusus pula. Kita harus membaca sastera sebagai sastera, dan bukan buku sejarah atau politik. Membaca sastera ialah suatu proses berfikir, merasa dan menghayati bahasa, peristiwa dan gagasan. Proses ini penting untuk diri manusia sendiri kerana yang ditawarkan ialah berbagai-bagai jenis pengalaman buat pembacanya - dari yang lahiriah sampailah kepada sikap dan pendiriannya. Semuanya dianggap sebagai cermin dan bayang makna kehidupan manusia. Ramai daripada kita yang merasakan pelajar kita kurang mampu untuk menilai apa yang mereka baca. Pada tahun 2011, dengan gunung maklumat di internet dan dunia cetakan, kami maklum bahawa mereka sudah lama dituntut dan dilatih untuk mempertimbangkan, memilih dan membuat kesimpulan sendiri. Sesuatu fakta yang diubah dan dimetaforakan secara halus sekalipun di dalam karya sastera dan kenyataan dengan wajah sebenar akan tetap muncul dalam pelbagai medium yang lain.

Interlok ialah sebuah novel yang melukis suatu deretan waktu, watak dan latar dari 1910 hinggalah sebelum Merdeka. Tujuan penulis cukup mulia, iaitu melukis gambaran kaum-kaum yang terdapat di negara ini, dengan masalah dalamannya sendiri, dan di akhirnya telah bersatu untuk menerima negara dan harapan baru. Inilah tujuan pengarang. Manusia yang dilukiskan juga cukup mulia, terutama Maniam, yang besar hati dan jiwanya, dan masih ingin membantu orang lain, walau pun dia pernah dimangsakan.
Kami tidak melihat masalah pada istilah dan lukisan yang digambarkan oleh pengarang. Kami juga tidak mengesan tujuan untuk menghina mana-mana kaum. Akhiran karya ini menawarkan harapan dan kecerahan. Itulah tujuan terpenting pengarang. Kami merasa sangat prihatin sekiranya pengarang terus didesak untuk merubah karya mereka sehingga gagasan awal mereka sudah dicairkan. Dan sekiranya perubahan pada lukisan satu kaum hanya dibuat, dan tidak pada kaum yang lain, maka akhirnya terdapat suatu lukisan yang tidak lagi berimbang dan benar - hanya cantik pada suatu kaum dan comot pada yang lainnya.

Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian.
Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.
*Kenyataan bersama oleh empat orang Sasterawan Negara, Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Shahnon Ahmad dan Noordin Hassan.