DJ "terpancung" kembali dengan Durian FM
Pengacara rancangan "Say Hi to Malaysia" yang "dipancung" pada Ogos 2010, Jamaluddin Ibrahim kini kembali ke ruang udara melalui saluran internet, dengan DurianFM.com. Stesen radio yang berpengkalan di laman internet ini menyasarkan audien berbilang kaum, dengan tiga bahasa pengantar, iaitu bahasa Cina, Inggeris dan Malaysia. Berkata kepada wartawan selepas upacara perlancaran, pengasas DurianFM.com Jamaluddin Ibrahim menjelaskan bahawa nama "durian" dipilih kerana sifat tempatannya (local), lebih-lebih lagi bunyinya hampir sama ketika diungkapkan dalam pelbagai bahasa. Apabila ditanya sama ada beliau berdepan dengan "tekanan politik" sepanjang penubuhan radio internet ini, Jamaluddin Ibrahim berkata, "Tiada, tiada. Setakat ini tiada. Saya berharap tiada (tekanan) pada masa depan, memandangkan penubuhan radio sedemikian adalah dibenarkan di bawah undang-undang." Beliau memilih 8 Mac sebagai tarikh perlancaran radio internet ini untuk memperingati "tsunami politik" yang berlaku tiga tahun lalu. Untuk Jamaluddin Ibrahim, 8 Mac adalah tanda di mana rakyat bangkit untuk menggunakan hak mereka, dan beliau berharap ia diteruskan. Jamaluddin juga berharap agar ruang ini digunakan sebagai platform untuk perdebatan pandangan daripada latar belakang politik yang berbeza. Ruang semakin sempit dalam media elektronik Sebelum ini, Jamaluddin Ibrahim terpaksa digugurkan dari rancangan call-in pada pagi 19 Ogos 2010, berikutan "tekanan politik" yang kononnya datang daripada majikannya, iaitu MCA. Rancangan tersebut didakwa "mengutarakan hujah yang tidak sesuai dan bias", sehingga disiasat Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC). Antara kejadian yang berlaku dalam media elektronik pada ketika itu termasuklah perletakan jawatan penerbit rancangan NTV7, Joshua Wong sebagai protes kerana self-censorship yang keterlaluan. Chou Z Lam, penerbit rancangan yang dihentikan RTM sebelum tempoh perkhidmatan tamat mengikut kontrak, dan Tan Ean Nee yang tidak diperbaharui kontraknya oleh RTM. Kejadian bersiri ini dibaca sebagai tekanan terhadap media elektronik, yang semakin sempit ruang kebebasannya. Satu gerakan bergelar "1 Muted Malaysia" telah diadakan, dengan aktiviti perarakan dan forumnya, sebagai usaha untuk menyedarkan orang awam terhadap pencabulan kebebasan bersuara pada zaman pemerintahan PM keenam, Najib Razak. Latar belakang isu: Lagi pengacara "dipancung" ...kini giliran stesen radio 98.8 |