Wednesday, March 9, 2011


PRU 13: Bn Hilang Sokongan Melayu

KUALA LUMPUR: The Economist, majalah mingguan politik dan bisnes antarabangsa menjangkakan Barisan Nasional (BN) kehilangan lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, khususnya di kalangan pengundi muda dan golongan sederhana Melayu.
Melalui laporan yang dikeluarkan Economist Intelligence Unit, majalah itu menyenaraikan kekecewaan golongan muda terhadap urustadbir negara yang dibelenggu skandal politik dan usaha Islamisasi secara kosmetik Umno sebagai punca kemerosotan.


“Kemungkinan besar keputusan pilihan raya umum akan datang BN akan kalah lebih banyak kerusi memandangkan pengundi muda Melayu yang bersikap sederhana, kecewa dengan skandal politik,” kata majalah itu.


Dalam laporan mingguan keluaran Disember, Umno mungkin masih mampu meraih undi di kawasan luar bandar, namun parti itu akan ditolak oleh golongan muda di kawasan bandar.


“Meskipun pengundi muda di luar bandar terus menyokong Umno, sejumlah besar pengundi Melayu yang berpelajaran, dan dari kelas pertengahan akan beralih daripada parti pembangkang,” kata laporan itu.


Golongan muda di bandar dijangka menolak Umno kerana kebanyakan mereka tergolong dalam kategori yang perlu membayar cukai pendapatan dan meluat dengan masalah rasuah serta ketirisan dalam pentadbiran Umno BN.


Beberapa siri peristiwa di peringkat nasional seperti pendakwaan Khir Toyo, peletakan jawatan Samy Vellu serta kenaikan harga barang bagi mengisi kantung BN mendorong banyak pihak meramalkan pilihan raya umum akan berlaku dalam Mac 2011.


Namun, majalah The Economist menjangka pilihan raya umum akan hanya diadakan sekitar Julai 20011, sebaik sahaja pilihan raya negeri Sarawak selesai.
“Kami masih percaya bahawa Najib akan menetapkan tarikh pilihan raya selepas pilihan raya negeri Sarawak.


“Keputusan pilihan raya negeri Sarawak akan menjadi kayu ukur penting bagi BN sebagai kerajaan,” kata laporan itu lagi.

KOMEN:

Masa depan negara ini terletak di bahu orang-orang muda. Merekalah akan membersihkan segala kekotoran dan kejahatan yang diperbuat oleh UMNO selamanya.

Bila genarasi tua lupus, genarasi muda akan mengambilalih.
Revolusi JASMIN baru mulai disemai. Hasilnya akan nampak sekurang-kurangnya dua dekad dari sekarang.