Monday, December 13, 2010

Pemuda Bangkit: NUMS dan Kelahiran Semula Gerakan Mahasiswa

Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh | Dec 13, 2010
Berbeza dengan keadaan gerakan di Britain dan Filipina, Malaysia mengambil pendekatan berbeza dalam mengetengahkan masalah pelajar universiti dan pembelajaran.
Melalui National Union of Malaysian Students (NUMS) atau lebih dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia, mereka mengambil pendekatan kreatif dalam menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi.
Di Toronto Kanada, pada November yang lalu, ribuan pelajar institusi pengajian tinggi telah berdemonstrasi kerana kenaikan yuran pengajian. 


Mereka telah menuntut supaya yuran pengajian dihapuskan sama sekali.  Mereka telah menuntut Perdana Menteri Dalton McGuinty supaya memansuhkan yuran pengajian tinggi di seluruh Kanada.  Kebangkitan pelajar-pelajar di Toronto itu seolah-olah telah mencetuskan gelombang kebangkitan pelajar di seluruh dunia, khususnya di United Kingdom, Filipina dan juga Malaysia.
Mengikut jejak pelajar-pelajar di Toronto, ribuan pelajar di London, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi telah berdemonstrasi kerana kenaikan yuran pengajian mereka hampir tiga kali ganda.  Ketika demonstrasi tersebut berlaku beberapa pertembungan dengan pihak polis yang menyebabkan banyak kecederaan dan 43 tangkapan.  Dalam demonstrasi tersebut juga berlaku serangan ke atas kereta Putera Charles dan Camilla Duchess of Cornwall sewaktu dalam perjalanan ke Paladium London.  Walau bagaimanapun, parlimen Westminster meluluskan kenaikan yuran yang akan berkuatkuasa pada 2012.
Pelajar-pelajar universiti awam di Filipina pula telah berarak ke Dewan Senat pada 1 Disember yang lalu untuk membantah potongan peruntukan bajet bagi universiti-universiti dan kolej-kolej awam.  Di tanahair pula, pelajar-pelajar telah menunjukkan solidariti bersama rakyat Selangor dalam perhimpunan bantah penswastaan air Selangor yang berlaku di perkarangan Masjid Negara pada 5 Disember yang lalu.  Pelajar-pelajar kita juga telah berdemonstrasi dan menyerahkan memorandum kepada pihak Perdana Menteri berhubung isu kenaikan harga barangan di Malaysia.
NUMS yang ditubuhkan berbeza daripada pertubuhan atas nama yang sama yang pernah diharamkan pada tahun 1974.  Gerakan Mahasiswa Malaysia telah dihidupkan semula, apabila sekumpulan pelajar-pelajar yang terdiri daripada wakil-wakil daripada pelbagai universiti awam dan swasta telah membentuk satu jawatankuasa sementara untuk mendaftarkan ahli-ahli baru supaya pertubuhan itu dapat didaftarkan sebagai satu pertubuhan baru yang sah di sisi undang-undang.
Selaku jurucakap NUMS Baru, Amir Fared menyatakan bahawa mereka memilih untuk menghidupkan kembali semangat NUMS kerana nilai sejarah yang terdapat pada pertubuhan tersebut, sekali gus menarik minat orang muda untuk mempelajari sejarah negara.  Walau bagaimanapun, beliau menyatakan dengan tegas bahawa pendekatan yang akan diambil oleh NUMS Baru adalah sedikit berbeza dan tidak akan lari daripada ruang lingkup undang-undang yang sedia ada seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti.
Idea ini tercetus hasil daripada kebangkitan pelajar-pelajar di London, namun NUMS tidak bercadang untuk melanggar mana-mana undang-undang yang berkuat-kuasa dengan mengadakan perhimpunan haram dan sebagainya.  Seperti Britain, Kanada dan Filipina, Malaysia juga sudah tidak yakin dengan kerajaan mahupun pembangkang, politik tanah air terlalu cetek dan sering mempertikaikan perkara-perkara yang remeh sedangkan masalah dan kebajikan pelajar tidak pernah menjadi tumpuan.
Oleh itu, NUMS berhasrat menghimpunkan pelajar bagi mencari satu penyelesaian yang tidak memerlukan pergantungan kepada kerajaan mahupun mana-mana parti politik.  Mereka juga percaya golongan terpelajar di Malaysia mampu menguruskan masalah-masalah mereka sendiri tanpa campur tangan politik.
Melihat perkembangan ini, pelajar-pelajar di Malaysia sudah mula berdikari dan berusaha demi kepentingan mereka bersama.  Mungkinkah pelajar-pelajar ini akan menjadi teladan kepada masyarakat bahawa penyelesaian kepada masalah-masalah yang membelenggu masyarakat tidak semestinya diselesaikan oleh Kerajaan semata-mata?  Selama ini kita memandang rendah terhadap graduan-graduan kita, namun pada hari ini kita sudah boleh lihat perubahan dalam sikap pelajar-pelajar yang sudah mula menunjukkan kematangan dan kreativiti mereka dalam pembangunan negara.
Kami bersyukur, ada golongan pelajar di Malaysia yang tidak lagi mahu bergantung kepada kerajaan, dan tidak juga memilih untuk berdemonstrasi seperti pelajar-pelajar di London, sebaliknya berusaha untuk maju dalam ruang lingkup undang-undang yang tidak adil.  Namun keyakinan yang ditunjukkan seolah-olah mereka menyatakan bahawa tidak ada apa yang mampu menghalang kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah mereka.  Mereka juga sanggup mengenepikan pengaruh dan kepentingan politik semata-mata untuk kepentingan mereka bersama.  Jika begini rentak perkembangan orang muda di Malaysia, kami percaya masa depan negara masih mempunyai harapan yang cerah.
*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas.
(merdekareview)