Thursday, December 16, 2010

Penggantungan 4 MP: Usaha terakhir Umno-BN untuk terus bernafas

PANDIKAR AMIN MULIA PETALING JAYA: Tindakan Dewan Rakyat menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan langkah terdesak Umno-Barisan Nasional (BN) untuk terus mengekalkan kuasanya di Putrajaya.
Ini kerana penggantungan itu mampu memberi laluan kepada Umno-BN menguasai dua pertiga majoriti parlimen sekaligus membolehkan mereka meluluskan usul persempadanan semula kawasan pilihanraya yang akan memihak kepada mereka.

Malah Koordinator Media Kelab Anwar Ibrahim (AIC) Hasani Mohamed berkata, tindakan yang telah diluluskan Speaker mengikut Aturan Urusan Mesyuarat tanpa melalui notis tujuh hari turut digunakan untuk mengalih isu kenaikan harga barang yang jelas membebankan rakyat.
Parlimen pagi ini menggantung Anwar selama enam bulan tanpa membahaskan sama sekali laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dibentangkan kelmarin.
Dewan Rakyat hari ini turut meluluskan usul penggantungan selama enam bulan ke atas Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR- Gombak) selepas didakwa menghina dewan.
Usul menghina dewan ke atas ketiga-tiga ahli parlimen tersebut dikatakan berkaitan dengan Anwar yang dihadapkan ke jawatankuasa itu selepas mendakwa kempen 1Malaysia mempunyai persamaan dengan ‘One Israel’ melalui syarikat perundingnya, Apco Worldwide.
"AIC mengangap ini sebagai langkah terakhir Regim Umno-BN untuk terus berkuasa di samping laporan WikiLeaks (daripada sumber diplomat Singapura) yang mengaitkan tengkuk Presidennya, Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan berprofil tinggi.
Disamping sistem kehakiman yang berterusan menerima kritikan antarabangsa, parlimen terus diperkudakan rejim Umno-BN.
"Boneka yang dilacurkan"
"Manakala Speaker Dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia seperti "boneka yang dilacurkan" untuk menjayakan setiap kehendak mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Keadaan ini juga katanya membuktikan tiada lagi pemisahan kuasa dan limitasi Kuasa Eksekutif yang telah dijanjikan Perlembagaan Malaysia.
Merujuk kepada contoh demokrasi-autoritarian yang dibangkitkan oleh ahli falsafah John Locke, penggantungan empat ahli parlimen itu katanya jelas melawan akal manusia yang normal apabila sebuah kerajaan berperlembagaan tanpa keadilan bagaikan sekumpulan perompak kejam.
"Kita boleh mengimbau sejarah lalu ketika Pilihanraya Umum ke-11 di mana modus-operandi yang sama digunakan untuk mereka memenangi lebih 2/3 majoriti di Parlimen.
"AIC percaya bahawa tindakan ini jelas menggambarkan betapa terdesaknya rejim Perdana Menteri Najib Razak untuk terus berkuasa, sama seperti rampasan kuasa di Perak apabila mereka memperkudakan sistem kesultanan dan mahkamah dalam menjayakan misi jahat mereka," katanya.(FMT)