Thursday, December 16, 2010

Penjelasan JPM terhadap tuduhan Mat Zain....

Tuan Yang di-Pertua,
Baru-baru ini, Ahli Yang Berhormat Ipoh Timur telah mengemukakan usul meminda jadual di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) untuk memotong RM10 daripada gaji Peguam Negara.  Kini, saya memohon izin untuk memberikan penjelasan lanjut di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) mengenai beberapa pekara yang dibangkitkan dalam usul tersebut.
1. Berkenaan dengan kedudukan Mat Zain dalam keputusan Panel Bebas
Mat Zain telah membangkitkan dakwaan bahawa Panel Bebas yang ditubuhkan tidak membersihkan namanya berkaitan dengan salah laku dalam siasatan kes "mata lebam" Anwar Ibrahim.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, tujuan Panel Bebas yang berkenaan ditubuhkan adalah untuk menilai hasil siasatan yang telah dijalankan oleh SPRM mengenai kejadian kes "mata lebam" Anwar Ibrahim.  Subjek siasatan SPRM ialah Abd Gani Patail, Peguam Negara dan Musa Hassan.  Mat Zain dan Doktor Abdul Rahman Yusof, yang dinyatakan dalam laporan Anwar Ibrahim, tidak menjadi subjek siasatan oleh SPRM.  Hanya percakapan mereka dirakamkan sebagai saksi.  Oleh yang demikian, apabila hasil siasatan SPRM dikemukakan kepada Panel Bebas yang berkenaan, Mat Zain tidak menjadi subjek penilaian siasatan oleh Panel Bebas.
Dengan itu,oleh sebab Panel Bebas tidak membuat apa-apa siasatan atau menilai hasil siasatan yang melibatkan Mat Zain sebagai subjek, maka tidak ada sebab bagi Panel Bebas untuk membersihkan namanya.  Panel Bebas tidak mempunyai tanggungjawab untuk membuat apa-apa penilaian ke atas mana-mana orang yang tidak termasuk dalam bidang kuasanya.
Lembaga Penasihat SPRM, melalui surat jawapan kepada Mat Zain bertarikh 23 Julai 2009, telah menegaskan bahawa tiada keperluan bagi Panel Bebas ataupun SPRM untuk membersihkan nama Mat Zain memandangan Mat Zain sendiri bukan subjek siasatan SPRM.
2. Berkenaan dengan kesahan pelantikan Ahli Panel Bebas oleh Peguam Cara Negara
Mat Zain juga telah mempertikaikan pelantikan Ahli Panel Bebas yang ditubuhan untuk menilai hasil siasatan SPRM ke atas dakwaan salah laku Abd Gani Patail, Peguam Negara dan Musa Hassan dalam kes "mata lebam" Anwar Ibrahim.  Untuk makluman Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen, Ahli Panel Bebas yang terdiri daripada Kadir Sulaiman dan Wira Mohd. Noor Ahmad, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mohd. Noor Abdullah, mantan Hakim Mahkamah Rayuan, telah dilantik oleh Peguam Cara Negara sebagai Timbalan Pendakwa Raya mengikut subseksyen 376(2) dibaca bersama subseksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah .  Mengikut Mat Zain, tindakan Peguam Cara Negara melantik ahli Panel Bebas itu adalah tidak sah kerana bertentangan dengan subseksyen 376(4) Kanun Tatacara Jenayah.  Mengikut Mat Zain, Peguam Cara Negara tidak mempunyai kuasa untuk melantik Timbalan Pendakwa Raya yang membentuk Panel Bebas tersebut.
Tuan Yang di-Pertua,
Jika kita kaji seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah dengan teliti, hanya satu kedudukan undang-undang yang jelas diperlihatkan iaitu Peguam Cara Negara mempunyai kuasa untuk melantik Timbalan Pendakwa Raya.  Saya bacakan keseluruhan seksyen 376 tersebut di sini supaya lebih jelas:
Dengan izin, Tuan Yang di-Pertua:
"Public Prosecutor
(1) The Attorney General shall be the Public Prosecutor and shall have the control and direction of all criminal prosecutions and proceedings under this Code.
(2) The Solictor General shall have all powers of a Deputy Public Prosecutor and shall act as Public Prosecutor in case of the absence or inability to act of the Attorney General.
(3) The Public Prosecutor may appoint fit and proper persons to be Deputy Public Prosecutors who shall be under the general control and direction of the Public Prosecutor and may exercise all or any of the rights and powers vested in or exercisable by the Public Prosecutor by or under this Code or any other wriiten law except any rights or powers expressed to be exercisable by the Public Prosecutor personally and he may designate any of such Deputy Public Prosecutors as Senior Deputy Public Prosecutors.
(4) The rights and powers vested in or exercisable by the Public Prosecutor by the Public Prosecuter by subsections (3) and 68(2) shall be exercisable by the Public Prosecutor Persoanlly."
Subseksyen 376(2) jelas memberikan kuasa kepada Peguam Cara Negara untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya dalam ketiadaan Peguan Negara atau dalam hal keadaan Peguam Negara tidak berupaya untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya.
Dalam kes ini, Abd Gani Patail (gambar kiri), Peguam Negara, merupakan subjek dalam siasatan tersebut dan dengan itu, adalah tidak wajar atau adil bagi dirinya untuk melantik Ahli Panel Bebas tersebut.  Oleh yang demikian,dalam keadaan Abd Gani Patail tidak berupaya untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya, Peguam Cara Negara telah mengambil alih kuasa untuk bertindak sebagai Pendakwa Raya, dan seterusnya bagi maksud kes ini, menjadi Pendakwa Raya sebagaimana yang diperuntukan dalam subseksyen 376(2) tersebut. Saya tekankan peruntukan subseksyen 376(2) iaitu--
"The Solictor General...Shall act as Public Prosecutor in case of the absence or inability to act of the Attorney General.."
Subseksyen 376(4) yang dinyatakan oleh Mat Zain dalam dakwaannya adalah tertakluk kepada subseksyen 376(2) dan mestilah dibaca bersama dengan subseksyen tersebut.  Perkataan "Pendakwa Raya" dalam subseksyan376(4) merujuk kepada Peguam Cara Negara yang pada waktu itu sedang menjalankan hak dan kuasa dan bertindak sebagai Pendakwa Raya. Perkataan"...exercisable by the Public Prosecutor personally..." yang tersebut dalam subseksyen 376(4) tersebut merujukan kepada Peguam Cara Negara yang bertindak sebagai Pendakwa Raya.
Dalam erti kata lain, Peguam Cara Negara yang bertindak sebagai Pendakwa Raya tidak boleh mewakilkan kuasanya kepada mana-mana orang lain kerana subseksyen 376(4) tersebut memperuntukan bahawa dia hendaklah menjalankan hak dan kuasa itu sendiri.
Sehubungan dengan itu, di bawah subsekyen 376(3), Peguam Cara Negara yang bertindak sebagai Pendakwa Raya pada ketika itu mempunyai kuasa dan hak untuk melantik mana-mana orang sebagai Timbalan Pandakwa Raya.  Pada hakikatnya, Peguam Cara Negara telah menjalankan kuasanya sebagai Pendakwa Raya di bawah subseksyen376(3) tersebut apabila dia melantik ketiga-tiga Ahli Panel Bebas yang berkenaan.
Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan di atas, pelantikan ahli Panel bebas oleh Peguam Cara Negara adalah sah membuat keputusan untuk menutup kes tersebut kerana percanggahan di dalam kedua-dua akuan berkanun oleh Balasubramaniam tidak memberi apa-apa kesan kepada perbicaraan kes Altantuya Shaaribuu.
Sekian, terima kasih.

*Penerangan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(i) - penjelasan lanjut mengenai perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan usul meminda jadual di bawah peraturan mesyuarat 66 (9) - memotong RM10 daripada gaji peguam negara.

Komen: Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati, buka minda dan nilailah sendiri bagaimana.......