Wednesday, December 15, 2010

Ke Mana Zaid Akan Bawa KITA!


Oleh Syed Mu’az Syed Putra


Zaid Ibrahim ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan Akim di Tropicana Golf Resort, Petaling Jaya pagi tadi. — Gambar oleh Choo Choy May
PETALING JAYA, 15 Dis — Datuk Zaid Ibrahim menegaskan parti baru yang diterajuinya — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) tidak akan menyertai Pakatan Rakyat yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.
Sebaliknya, bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ini berkata, Kita yang sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) mempunyai dasar perjuangan yang berbeza, yang akan memberikan tumpuan kepada kepentingan rakyat.
Kita juga akan bertindak sebagai parti pelbagai kaum, kata Zaid.
“Kita parti bebas, ada ideologi dan ada dasar. Kita tidak akan sertai Pakatan Rakyat.
“Tapi kalau ada perkara-perkara yang kita rasa penting kita akan sokong sahaja,” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan Akim di sini yang disertai sekitar 200 perwakilan.
Zaid menerajui parti itu selepas genap sebelum meninggalkan PKR ekoran isu kecacatan dan kelemahan dalam sistem pemilihan parti itu.
Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.
Menurut Zaid, Kita yang kini mempunyai keanggotaan kira-kira 300 orang akan menjadi sebuah parti yang kuat sekiranya mendapat sokongan daripada semua barisan kepimpinan parti.
“Saya harap parti kecil ini boleh maju ke depan, saya percaya kita boleh.
“Politik negara memerlukan perubahan termasuk nilai politik itu sendiri. Kalau kita lihat sekarang ada parti politik yang gunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.
“Dan, ada juga pihak yang satu lagi cuba untuk mengambil alih kuasa itu tapi kita tidak kerana kita tolak politik yang macam ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada mesyuarat agung Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) yang kini ditukarkan nama sebagai Kita.
Tambah Zaid, beliau mahu Kita menjadi sebuah parti yang menghormati demokrasi dan berjuang untuk kepentingan rakyat.
“Kita mahu ahli parti ini bersatu, kita mahu parti ini menghormati demokrasi dan kita mahu melakukan perubahan.
“Walaupun jumlah kita kecil tapi kita mampu untuk beri sumbangan besar kepada rakyat.
“Jangan bimbang kepada tohmahan pihak lain, kita berjuang untuk rakyat,” katanya.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu turut meminta supaya ahli tidak mempedulikan serangan dan tuduhan yang dilemparkan.
Zaid juga berkata, Kita tidak memerlukan mana-mana pemimpin yang terkenal untuk menyertai parti itu.
“Kita tidak mempunyai jumlah ahli yang besar, tapi apa yang penting kita mahu melakukan perubahan kepada sistem pentadbiran negara.
“Kita akan cuba cari pemimpin untuk menyertai Kita. Kita tidak perlu pemimpin yang masyhur, orang jahat juga masyhur, orang ada skandal juga masyhur.
“Kita terima pemimpin yang ikhlas, kita tidak perlu orang besar tapi kalau pemimpin itu bagus boleh,” katanya.
Beliau juga berkata kewujudan Kita bukan untuk bersaing dengan PAS dan Umno.
“Kita bukan nak bersaing dengan sesiapa, tapi berkawan dengan semua parti... tetapi berkawan atas prinsip dan landasan yang sama,” katanya yang berharap parti baru itu dapat menarik ahli-ahli yang komited terhadap perjuangan dan ideologi parti.
Komen: Apakah Zaid akan membawa KITA lain dari parti-parti serpihan terdahulu, yang nama-nama pemimpinnya jauh lebih gah dari Zaid seperti Datok Onn (Parti Negara), Datok Asri (Hamim), Datok Nasir (Berjasa) dan Tg.Razaleigh (Semangat 46)? Masalah yang akan menentukannya, kita hanya merancang, tapi Allah-lah yang menentukannya.........Niat baik dapat baik...