Friday, December 17, 2010

Kes Perak buktikan Speaker boleh dicabar



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 17 Dis:
Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa
mahkamah boleh mengenepikan keputusan
Speaker Dun Perak kini bakal makan tuan
apabila Pakatan Rakyat mahu mencabar
keputusan Speaker Dewan Rakyat. Oleh itu,
pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Nazri Aziz bahawa keputusan
Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dicabar
oleh mahkamah telah tertolak dengan keputusan
Mahkamah Persekutuan itu.Demikian kata
peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar),
Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dalam
satu kenyataannya kepada Harakahdaily.


Sebelum ini, Mohd Nazri melabelkan ahli
parlimen Pakatan Rakyat sebagai 'bodoh dan
gila' kerana mengugut untuk mengheret
speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
ke mahkamah.


Mengulas kenyataan ahli parlimen Bukit Gelugor,
Karpal Singh - Nazri, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal
parlimen berkata mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding
Dewan Rakyat.

“Ini kerja gila dan saya percaya ia akan ditolak oleh mahkamah kerana parlimen ada
supremasinya,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Menurut Nazri, telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah
tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen.

Karpal yang merupakan seorang peguam sebelum ini berkata tindakan akan diambil ke atas
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Pandikar Amin Haji Mulia kerana menyalah-gunakan kuasa
meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli
parlimen yang lain, termasuk dirinya selama enam bulan.

Bagi Hanipa, Umno telah terbelit dengan tindakannya sendiri apabila seolah-olah
membenarkan tindakan Mahkamah Persekutuan campur tangan dalam kes keputusan
Speaker Dun Perak V Sivakumar apabila beliau menggantung Zambry Abdul Kadir dan
enam Exco haramnya.

"Adakah Nazri tidak sedar dalam kes Perak, Umno telah menyalahgunakan mahkamah
untuk cabar keputusan V Sivakumar, Speaker Dun Perak.

"Bukankah Mahkamah Persekutuan telah memutuskan keputusan Sivakumar sebagai
Speaker boleh dicabar. Sekarang kes Perak ini dah makan tuan," kata Hanipa dalam
kenyataannya.

Ini kerana, kedudukan Speaker Dun dan Speaker Dewan Rakyat tidak ada bezanya dalam
konteks sistem dewan perwakilan di Malaysia. Jika keputusan Speaker Dun boleh dicabar,
maka keputusan Speaker Dewan Rakyat juga boleh dicabar.