Dakwaan Pakatan Rakyat bahawa penggantungan empat orang ahli Dewan Rakyat-nya bakal memberi laluan kepada pindaan perlembagaan itu adalah salah, apabila tafsiran ahli akademik terhadap Perlembagaan Persekutuan menyimpulkan bahawa "dua pertiga" ini dirujuk kepada bilangan kerusi yang ada dalam dewan, bukannya kehadiran dalam dewan.
Menurut Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan, pindaan perlembagaan tidak boleh diluluskan, melainkan mendapat tidak kurang daripada sokongan dua pertiga daripada bilangan ahli parlimen dalam dewan (votes of not less than two-thirds of the total number of members of that house). Justeru itu, walaupun empat orang ahli parlimen PR digantung, namun BN tetap tidak boleh meminda perlembagaan.
Justeru itu, walaupun seramai empat orang ahli parlimen PR digantung selama enam bulan, namun kerusi PR tidak berkurang, begitu juga kerusi BN tidak bertambah di sebaliknya. Maka tidak timbul kebimbangan bahawa BN mungkin mengambil kesempatan untuk meminda perlembagaan.
Semalam, ahli parlimen Rasah-DAP Anthony Loke berkata seandainya Anwar Ibrahim, Azmin Ali, Karpal Singh dan Sivarasa Rasiah digantung kelayakannya selama enam bulan, ini bermakna PR hanya tinggal 72 orang ahli parlimen. Satu pertiga daripada 222 kerusi bersamaan dengan 74. Dengan kata lain, kerajaan boleh mengemukakan usul untuk meminda perlembagaan, termasuk persempadanan semula kawasan pilihan raya dalam masa enam bulan akan datang.
Tidak perlu pinda perlembagaan untuk persempadanan semula
Ketika dihubungi MerdekaReview, pengkaji politik, Wong Chin Huat menyetujui kenyataan Nazri bahawa penggantungan empat orang ahli parlimen PR tidak memberi laluan untuk meminda perlembagaan.
Selain itu, Wong Chin Huat memperbetulkan Anthony Loke bahawa persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya memerlukan sokongan majoriti mudah (simple majority) ahli parlimen, tetapi memerlukan majoriti dua pertiga jika ingin menambah kawasan pilihan raya.
Selain itu, Wong Chin Huat berkata, masalah yang terbesar kini adalah penggantungan kelayakan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim. Walaupun tiada kabinet bayangan dalam negara ini, tetapi hampir semua negara di seluruh dunia akan menghormati Ketua Pembangkang dalam parlimennya. Oleh itu, adalah sesuatu yang "pelik" untuk menggantung seorang Ketua Pembangkang daripada masuk ke dalam parlimen.
*Chan Wei See ialah Pemangku Ketua Pengarang MerdekaReview. Diterjemah dan disunting Lim Hong Siang dari teks asal.